KUALA LUMPUR – Tertekan akibat masalah kewangan yang kritikal menjadi punca misteri kehilangan pemandu e-hailing, Syahrul Asyraf Dahlan, 33, sejak 12 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Mohd Azam Ismail berkata, Syahrul ditemui sepasukan polis di tepi jalan dekat Pandamaran, Klang pada jam 5.40 petang tadi.
Menurutnya, pemandu e-hailing itu berada dalam keadaan selamat.
“Syahrul berjaya dikesan dan dijumpai sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ampang Jaya, petang tadi. Dia tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal.
“Hasil temubual awal mendapati Syahrul tidak memaklumkan kepada keluarga keberadaannya kerana dalam keadaan tekanan mempunyai masalah kewangan yang kritikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Azam berkata, keluarga Syahrul sudah dimaklumkan mengenai penemuannya.
“Kami sudah maklumkan kepada ahli keluarga bahawa Syahrul telah dijumpai dalam keadaan baik,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan pihak polis menerima laporan berhubung kehilangan Syahrul pada Ahad lepas.
Syahrul didapati hilang dan kali terakhir dihubungi oleh ahli keluarga yang tinggal di Melaka melalui panggilan telefon semasa beliau sedang bekerja pada 12 Julai lalu.
Lelaki tersebut dimaklumkan tinggal di sekitar kawasan Lembah Klang dan hanya tidur di dalam kereta miliknya sejak bekerja sebagai pemandu e-hailing. – 19 Julai, 2024