Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Boikot akar umbi PAS, perbalahan dalam pemilihan Bersatu jejas PN di Nenggiri? | Scoop

Boikot akar umbi PAS, perbalahan dalam pemilihan Bersatu jejas PN di Nenggiri?

Pengaruh Tengku Razaleigh Hamzah, selain perebutan antara Bersatu dan PAS untuk bertanding di Nenggiri dijangka memberi kelebihan kepada Umno pada PRK 17 Ogos ini

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perbalahan dalam kepimpinan Bersatu berkait jawatan dalam parti menjelang pemilihan Oktober ini, selain jangkaan boikot akar umbi PAS bakal memberi kesan kepada kempen Perikatan Nasional (PN) untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Situasi itu juga dijangka memberi kelebihan kepada Umno untuk merampas semula kerusi berkenaan bersandarkan pengaruh Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah di kawasan tersebut.

Penganalisis politik, Profesor Mazlan Ali berkata, masalah dalaman dihadapi Bersatu terutama menjelang pemilihan parti itu akan menjadi faktor desakan berterusan dalam kalangan akar umbi dan pemimpin PAS yang tidak yakin calon Bersatu boleh menang di Nenggiri.

Menurut Profesor Mazlan Ali, jika Umno mampu memanfaatkan situasi dalam PN ketika ini dan memberi penjelasan yang baik kepada orang Melayu mengenai kedudukan mereka dalam Kerajaan Perpaduan, BN mempunyai kelebihan untuk mempertahankan DUN Nenggiri. – Gambar Bernama, 21 Julai, 2024

“Rasanya semua tahu PAS mahukan kerusi itu, dengan isu dalam Bersatu, PAS macam tidak yakin calon Bersatu boleh menang, sebab itu mereka mahu kerusi itu.

“Jadi dengan ‘gangguan’ dalam Bersatu yang boleh menjejaskan fokus mereka untuk menghadapi PRK ini selain jangkaan boikot oleh akar umbi PAS, sedikit sebanyak memberi kelebihan kepada Umno.

“Cumanya, Umno kena pergi jumpa orang Melayu, kena beritahu kenapa Umno duduk dalam kerajaan Perpaduan dan apa yang Umno buat dalam kerajaan.

“Dan.. peranan Ku Li (Tengku Razaleigh) penting sebagai orang lama di Gua Musang untuk turun berkempen santuni penduduk tempatan membantu meningkatkan keyakinan pengundi untuk memberi undi kepada calon Umno,” katanya.

Pada Khamis, Ketua Pemuda Umno Kelantan, Mohamad Azmawi Fikri Abdul Ghani dipilih sebagai calon BN pada pilihan raya kecil (PRK) DUN Nenggiri.

PN bagaimanapun setakat ini masih belum mengemukakan calon untuk kerusi tersebut.

Pada ketika PN belum memutuskan siapa yang akan bertanding, BN sudah mengumumkan Ketua Pemuda Umno Kelantan, Mohamad Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon mereka dalam PRN bulan depan. – Gambar Bernama, 21 Julai, 2024

Dalam pada itu, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan berkata, kekecohan dijangka berlaku dalam pemilihan calon PN yang akan bertanding sama ada daripada Bersatu atau PAS.

“Walaupun PAS kata akan beri ruang kerana itu kerusi Bersatu tapi hakikatnya akar umbi PAS pasti akan mendesak pemimpin mereka untuk mengemukakan calon PAS.

“Kerana apa yang berlaku di Sungai Bakap, jelas (kemenangan calon PAS) dan kita bandingkan di Kuala Kubu Baharu (kekalahan calon Bersatu) jelas bahawa PAS boleh mencapai lebih kemenangan di sini berbanding calon Bersatu.

“Masalah dalaman Bersatu yang masih tidak selesai turut memberi kesan, perbalahan ini sedikit sebanyak memberi manfaat kepada Umno di Nenggiri,” katanya.

Beliau berkata, mengambil kira faktor Ku Li dan faktor perebutan kerusi antara PAS dan Bersatu itu, boleh dikatakan ini peluang terbaik bagi Umno menunjukkan PAS bukan kebal sangat walaupun di Kelantan, masih boleh ditewaskan.

“Strateginya, Umno tidak perlu membawa Pakatan Harapan (PH) dalam kempen tetapi mempamerkan kepada pengundi bahawa PRK ini sebenarnya antara Umno dan PAS, bukan BN dan PH melawan PAS atau Kerajaan Perpaduan melawan PAS,” katanya.

Profesor Madya Azmi Hassan percaya, faktor ‘orang lama’ Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, ditambah dengan isu dalaman PN akan memberi kelebihan kepada BN. – Gambar Bernama, 21 Julai, 2024

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos akan datang.

Ia diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Bersatu selepas menyatakan sokongan secara terbuka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos lalu, Azizi yang bertanding atas tiket PAS memperoleh 6,517 undi menewaskan calon BN, Ab Aziz Yusoff yang mendapat 5,707 undi. – 21 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Related