KUALA LUMPUR – Seramai 117 ahli politik dilantik menjadi pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) bagi Syarikat-Syarikat Diperbadankan Menteri Kewangan (MKD) dan Badan Berkanun Persekutuan (BBP) termasuk Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sehingga 12 Jun lalu.
Menurut Kementerian Kewangan (MoF), 25 daripada jawatan itu adalah untuk MKD, manakala selebihnya bagi BBP termasuk IPTA.
Begitupun, MoF bertegas pelantikan itu dibuat berdasarkan proses saringan sewajarnya bagi memastikan individu tersebut berupaya memenuhi peranan dengan berkesan seperti yang digariskan di bawah Akta Syarikat 2016 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002.
“Pengerusi dan ALP dalam syarikat MKD serta BBP dilantik berdasarkan kemampuan, kepelbagaian latar belakang dan kepakaran yang bersesuaian serta mengambil kira keperluan dan core business entiti itu sendiri bagi membolehkan Lembaga Pengarah melaksanakan tugasan dengan cekap dan berintegriti,’’ katanya dalam jawapan bertulis kepada Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat).
Mumtaz ingin mengetahui bilangan jawatan lantikan politik sebagai pengerusi dan ALP di agensi, perbadanan, dan syarikat di bawah kerajaan serta badan berkanun dan mekanisme penapisan yang digunakan.
MoF juga menyatakan, pelantikan itu dibuat berdasarkan kelayakan pendidikan dengan calon mesti mempunyai sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda atau yang setara, pengalaman perkhidmatan dalam industri atau bidang berkaitan serta kepakaran bersesuaian.
Individu terbabit, juga perlu berintegriti dan bertanggungjawab untuk melaksanakan amanah.
Menurut MoF, tapisan juga akan dilakukan pelbagai agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Insolvensi, Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Bank Negara, Polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). – 19 Julai, 2024