KUALA LUMPUR – Keadaan mayat Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang reput di bahagian dada dan muka menyukarkan proses untuk mengenal pasti punca kematiannya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, atas sebab itu pakar patologi di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh memerlukan keputusan analisis makmal ke atas beberapa sampel biologi yang diambil pada mayat.
“Buat masa ini pakar tidak dapat sahkan sebab kematian kerana mayat yang sudah reput terutama di bahagian dada serta muka.
“Selepas dapat keputusan analisis makmal, barulah pakar dapat putuskan sebab kematian,” katanya.
Semalam, Hussein mengesahkan keputusan bedah siasat mayat bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu diklasifikasi sebagai Pending Laboratory Investigation (menunggu laporan lengkap makmal).
Susulan itu, beliau juga mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berkaitan kes itu dan tidak menyebarkan sebarang gambar atau perkara yang boleh mengganggu siasatan kes.
Dalam pada itu, Hussein turut mengesahkan sebuah kereta Vios berwarna merah milik suspek telah dirampas untuk siasatan lanjut.
Kelmarin, mayat Farah ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit, Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, pada jam 6 petang.
Susulan itu, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun yang juga anggota polis berpangkat lans koperal di Balai Polis Slim River, Tanjung Malim.
Suspek direman bermula semalam sehingga Isnin depan bagi membantu siasatan kes pembunuhan itu. – 17 Julai, 2024