Dituduh tak pertahan orang teater, Siti Rohayah dedah sering tawar bayaran tinggi

Siti Rohayah Attan juga menegur segelintir penggiat teater yang mementingkan naskhah tetapi mengabaikan aspek lain seperti pengurusan serta promosi

Produser dan pengarah teater, Siti Rohayah Attan menangkis tuduhan tidak mempertahan orang teater dan seolah-olah cuba merendahkan taraf mereka melalui kritikan pedasnya - Gambar fail Scoop, 16 Julai, 2024

KUALA LUMPUR – Kritikan pedas produser dan pengarah teater, Siti Rohayah Attan mengenai sikap segelintir penggiat seni teater yang didakwa adakalanya syok sendiri dalam berkarya, selain isu bayaran yang didakwa dwistandard jika dibandingkan dengan selebriti atau wajah popular, benar-benar menggores hati mereka.

Bahkan ada yang menganggap Siti Rohayah tidak melakukan sesuatu untuk mempertahan orang teater selain seolah-olah merendahkan taraf mereka sebagai pemain teater melalui kenyataan pedasnya itu.

Menangkis tanggapan tersebut, Siti Rohayah ketika dihubungi Scoop berkata, jika ada yang menyatakannya tidak mempertahan kedudukan penggiat seni, mereka perlu menilai semula setiap produksi teater yang diterbitkan produksi teater miliknya, CTRA Productions.

“Bukan sahaja saya sering mempertahan orang teater, saya sering meletakkan mereka di tempat yang paling tinggi dan saya bercakap berdasarkan fakta.

“Sebagai bukti, Sherry Alhadad adalah seorang graduan teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Beritahu saya, produser mana yang pernah ambil seorang pelakon yang (ketika itu) tiada nama untuk memegang watak utama dalam pementasan teater di Istana Budaya (IB)?

“Tapi, dalam pementasan teater Nyonya yang saya terbitkan di IB, dia pegang watak utama dan barisan selebriti popular lain seperti Misha Omar, Amy Mastura dan Farah Fauzana hanya menjadi pelakon pembantu sahaja. Tidakkah saya letak orang teater di tempat tinggi?

“Selain itu, saya pernah jadikan beberapa pelakon teater lain seperti Mardiana Alwi, Juhara Ayob dan Norzizi Zulkifli sebagai teraju utama dalam pementasan lain seperti Lantai T Pinkie, Anugerah serta Dejavu yang mana mereka ini dibantu pelakon-pelakon popular lain,” katanya.

Tidak hanya itu, Siti Rohayah menyatakan, dia sering membayar tinggi kepada pelakon-pelakon teater yang berlakon di bawah pementasan teater terbitan produksi teaternya itu.

“Ada produksi teater yang berjaya dapat geran untuk mementaskan teater dan mampu membayar pelakon teater utama mereka dengan harga RM3,000 hingga RM4,000.

“Bukan mahu berlagak sombong. Tapi untuk harga bayaran yang sama itu, kebiasaannya saya bayar untuk penari atau pelakon tambahan yang berlakon dalam pementasan teater yang saya terbitkan,” katanya.

Mengenai ungkapan penggiat  teater ‘syok sendiri’, Siti Rohayah menjelaskan, apa yang dinyatakan itu adalah realiti yang berlaku di dalam dunia teater tempatan yang mana segelintir penggiat teater lebih memikirkan soal karya dan naskhah tetapi pada masa yang sama mengabaikan aspek lain seperti pengurusan, teknikal, pemasaran serta promosi.

“Pementasan teater juga sama seperti medium lain iaitu drama dan filem. Perlukan pemasaran dan promosi untuk membina penjenamaan kerana cara itu boleh memartabatkan seni teater. Misalnya dengan mengadakan sidang media atau pemasaran secara digital.

“Tapi kalau hanya fikirkan soal karya dan naskhah tapi aspek lain tidak dititiberatkan, bagaimana penonton nak datang tengok teater? Bila penonton tak datang, macam mana hendak raih pendapatan menerusi jualan tiket?

“Sebab itulah mereka gagal tarik penonton dan kerana itulah saya mengatakan mereka ini syok sendiri kerana yang hanya mereka fikirkan adalah untuk mengangkat karya hebat-hebat sahaja tapi hal-hal lain diabaikan,” katanya. – 16 Julai, 2024