KUALA LUMPUR – Tiada lagi kelibat peniaga yang tidak berbaju ketika melayan pelanggan di Kampung Datuk Abu Bakar Baginda, Bangi, selepas perbuatan tersebut dikecam ramai kerana dianggap sebagai tidak beretika.
Menerusi TikTok Durian Papa Muda, peniaga tersebut turut memaklumkan kepada pelanggan mereka sudah berbaju.
Salah seorang pekerja di situ sebaliknya menafikan mereka (pekerja) tidak memakai baju dan menyifatkan ia sebagai fitnah.
“Mana ada abang-abang sado di sini tak pakai baju. Kat sini semua orang pakai baju. Siapa cakap tak pakai baju. Fitnah fitnah,’’ katanya.
Bagaimanapun video beberapa lelaki tidak berbaju itu masih ada di dalam TikTok tersebut.
Minggu lalu tular video mengenai beberapa pekerja di sebuah gerai menjual durian di tepi jalan yang tidak berbaju, sekali gus mencetuskan kontroversi.
Malah rata-rata netizen mempersoalkan tindakan pekerja di gerai tersebut dengan mengaitkan isu kebersihan yang mempunyai risiko terjadinya pencemaran melalui pekerja ketika penyediaan makanan
Malah Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) turut menggesa tindakan diambil ke atas pekerja tersebut kerana menyalahi Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
Naib Presiden dan Penasihat Undang-Undang Fomca, Datuk Indrani Thuraisingham, menggesa pihak berkuasa menyiasat segera perbuatan berkenaan yang tidak mematuhi cara penyediaan makanan yang betul.
“Sebarang buah yang dipotong dan dijual di kawasan terbuka, pekerja sepatutnya memakai pakaian yang sesuai bagi mengelakkan pencemaran yang boleh berlaku melalui penjual.
“Ini termasuk pakaian yang bersih dan sesuai, peraturan ini perlu dikawal ketat supaya kebersihan dipatuhi oleh pekerja kedai,” katanya. – 15 Julai 2024