Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Jenazah Muhammad Luth Syauqi selamat dikebumikan bersebelahan pusara abangnya | Scoop

Jenazah Muhammad Luth Syauqi selamat dikebumikan bersebelahan pusara abangnya

Muhammad Akil Syauqi meninggal dunia pada 8.40 pagi Rabu, manakala adiknya meninggal dunia pada pukul 1.20 tengah hari semalam

8:31 AM MYT

 

BALING – Jenazah mangsa kedua insiden termakan keropok beracun Muhammad Luth Syauqi Nur Sufyan, 2, selamat dikebumikan bersebelahan pusara abangnya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol Berangan di sini kira-kira 11.30 malam tadi.

Jenazah kanak-kanak itu yang dibawa dari Hospital Pulau Pinang (HPP) tiba di pekarangan rumah datuk serta neneknya pada 10.45 malam sebelum dibawa ke Surau Lebai Ahmad Kampung Banggol Berangan pada 11.07 malam untuk solat jenazah.

Solat jenazah diimamkan imam Masjid Al Halimi Kampung Selarong Abdul Manaf L Saad.

Ibunya Nurain Hasnorizal, 25, dan neneknya Saadiah Yaacob, 62, serta anggota keluarga yang lain turut mengiringi jenazah Muhammad Luth Syauqi.

“Bye bye Luth,” ujar Saadiah dengan air mata berlinangan sambil memberikan lambaian terakhir selepas cucunya disemadikan.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Luth Syauqi dan abangnya, Muhammad Akil Syauqi, 3, berada dalam keadaan kritikal selepas termakan keropok disyaki mengandungi racun tikus di kawasan kebun di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, di Kulim Ahad lepas.

Kedua-dua kanak-kanak tersebut dipercayai mengambil peket makanan ringan itu yang digantung di dawai besi pagar kebun yang dikatakan untuk memerangkap monyet.

Muhammad Akil Syauqi meninggal dunia pada 8.40 pagi Rabu, manakala adiknya meninggal dunia pada pukul 1.20 tengah hari semalam. – 13 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Related