Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Lebih 20 peniaga pasar malam di Bangi terjejas, khemah diterbangkan ribut | Scoop

Lebih 20 peniaga pasar malam di Bangi terjejas, khemah diterbangkan ribut

Ribut disusuli angin kencang dan hujan lebat pada jam 2 pagi itu menyebabkan meja, khemah, kain rentang serta peralatan dapur peniaga mengalami kerosakan teruk

9:05 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Lebih 20 peniaga pasar malam terjejas selepas khemah di tapak jualan mereka mengalami kerosakan akibat ribut yang melanda Laman Niaga Bandar Seri Putra, di Bangi, awal pagi semalam.

Bercakap kepada Scoop, seorang peniaga pasar malam yang terbabit, Zaliany Mohamad berkata, ribut disusuli angin kencang dan hujan lebat pada jam 2 pagi itu menyebabkan peralatan jualannya seperti meja, khemah, kain rentang dan peralatan dapur mengalami kerosakan.

“Sebelum ini pernah terjadi kejadian sama di mana khemah kami diterbangkan angin, namun kerosakan yang dialami tidak banyak dan hanya satu atau dua khemah yang terlibat,’’ katanya yang menjual kuih.

Ditanya anggaran kerosakan, Zaliany berkata, dia masih mengira jumlah kerugian yang dialaminya.

Sementara peniaga keropok lekor, Nurul Safikah Mad Yasin berkata, 80% khemah peniaga patah serta rosak dan dia tiada pilihan lain kecuali membeli khemah baharu.

Peniaga keropok lekor, Nurul Safikah Mad Yasin berkata, 80% khemahnya patah serta rosak menyebabkan dia tiada pilihan lain kecuali membeli khemah baharu. – Gambar Scoop, 12 Julai, 2024

“Ketua persatuan penjaja memaklumkan kepada kami menerusi kumpulan WhatsApp mengenai khemah peniaga yang diterbangkan angin.

“Awal hari ini peniaga berkumpul untuk membersihkan tapak dan setakat ini tiada bantuan yang diterima. Ada peniaga yang tidak mampu membeli khemah baharu dan ada juga yang sudah membeli khemah baharu,’’ katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Penjaja Laman Niaga Bandar Seri Putra, Mohamad Fudhail Abdul Razak berkata Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ) sebelum ini berjanji untuk menyediakan fasiliti yang sesuai kepada peniaga namun sehingga kini mereka masih belum mendapat jawapan.

Peniaga berkumpul untuk membersihkan peralatan mereka dan setakat ini tiada bantuan yang diterima. – Gambar Scoop, 12 Julai, 2024

“Sudah hampir setahun peniaga berpindah ke tapak ini iaitu sejak September lalu. MPKJ berjanji untuk turap jalan kerana tapak ini tidak sesuai untuk orang datang membeli disebabkan jalannya berbatu dan akan ada takungan air jika hujan.

“Bagi memberikan keselesaan kepada pembeli, kita hanya buka pasar malam ini sehingga petang berbanding perancangan asal iaitu sehingga 11 malam.

“Peniaga juga kurang datang pada waktu malam disebabkan faktor jalan yang tidak sesuai digunakan, jadi tiada guna untuk peniaga meneruskan operasi sehingga lewat malam,’’ katanya.

Dalam pada itu, Persatuan Penjaja tersebut melancarkan Tabung Derma Kilat bagi meringankan beban peniagan terutama bagi membeli semula khemah baru. – 12 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Related