KUALA LUMPUR – Tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diibaratkan seperti sudah pindah kiblat, justeru kerusi disandang mereka sepatutnya dikosongkan.
Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li berkata, tindakan itu juga jelas menunjukkan keenam-enam wakil rakyat itu sudah berpindah pendirian dalam perjuangan politik mereka bersama Bersatu.
Justeru, beliau mempersoalkan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang tidak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen tersebut.
“Ini perkara yang pelik (tidak berlaku kekosongan enam kerusi). Sepatutnya ada satu tafsiran sahaja. Kalau kosong di Kelantan kerana menggunakan peruntukan Perlembagaan sama dipinda oleh Parlimen untuk menyekat orang melompat parti, maka di Parlimen pun sama.
“Tak boleh berbeza antara satu dengan yang lain kerana peruntukan dalam Perlembagaan itu sama dengan tujuan yang sama. Jelas sekali di Kelantan dilakukan kerana kekosongan itu mesti diwujudkan kerana wakil (wakil rakyat) sudah memberi sokongan kepada parti lain.
“Maknanya dia sudah pindah kiblat. Apabila dia pindah kiblat bererti dia sudah pindah parti ataupun dia pindah pendirian. Jadi saya rasa di Parlimen pun tak boleh tafsir cara lain” katanya dalam perkongsian video di TikTok.
Kelmarin, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan Johari memutuskan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, kekal sebagai wakil rakyat.
Muhyiddin mengesahkan perkara itu dimaklumkan Speaker Dewan Rakyat menerusi surat bertarikh 9 Julai lalu dan menganggap alasan diberikan sebagai dangkal dan satu tafsiran songsang, malah mendakwa Speaker mencemar Perlembagaan Persekutuan.
Enam Ahli Parlimen itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang); Mohd Aziz Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).
Mengulas lanjut, Ku Li mendakwa Johari mungkin bimbang berlaku ketidakstabilan di Dewan Rakyat sekiranya beliau mengisytiharkan kekosongan di enam kerusi tersebut.
“Ataupun dia (Johari) memikirkan ini tidak akan menjamin supaya Kerajaan Madani terus dapat bertindak dengan wajarnya.
“Jadi ini semuanya alasan-alasan politik yang diberikan, bukan dari segi undang-undang atapun tujuan sebenar kita pinda Perlembagaan dahulu.
“Jadi sebaiknya enam Ahli Parlimen sudah berpindah parti ataupun mengalir kesetiaannya kepada parti lain, tak mahu lagi sokong arahan partinya sendiri mesti kosongkan kerusi. Itu tafsiran orang biasa fikirlah. Saya sendiri pun berpendapat sama,” katanya.
Pada masa sama, Ku Li yang juga bekas Ahli Parlimen Gua Musang menasihati kerajaan pimpinan Anwar supaya tidak perlu takut sekiranya enam kerusi Parlimen itu dikosongkan.
“Dahulu dia (Anwar) pernah berkata, dia mempunyai hampir dua pertiga menyokong di Parlimen.
“Apa yang takut, tak perlu takut. Saya pun hairan mengapa ini dilakukan. Nampaknya politik melebihi segala-galanya,” katanya. – 12 Julai, 2024