KUALA LUMPUR – Jangan terlalu murah hati memberikan derma kepada mana-mana pihak sehingga membuka ruang untuk menjadi mangsa penipuan meskipun mereka adalah pempengaruh.
Sebaliknya, kata penganalisis jenayah yang juga pakar Kriminologi, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, periksa dan semak dahulu ke mana wang itu disalurkan dan memang betul kutipan derma dilancarkan oleh pihak yang menerima derma tersebut.
“Sebelum menghulurkan sebarang sumbangan, kita terlebih dahulu kena periksa sama ada memang betul ada kutipan derma tersebut.
“Contohnya untuk kutipan tabung masjid atau rumah anak yatim, kita kena selidik dahulu agar duit sumbangan itu memang betul-betul disalurkan kepada tempat yang dituju.
“Jangan kita bagi sahaja, tidak memeriksa asal-usul orang itu (yang menjalankan kempen derma), itu kelemahan orang kita (Malaysia) terlalu murah hati (sampai diambil kesempatan),” katanya ketika dihubungi Scoop.
Beliau mengulas mengenai beberapa kes melibatkan sumbangan derma hingga menjadi pertikaian ramai, dengan netizen yang mempersoalkan kemana derma itu disalurkan.
Pada Khamis, pasangan pempengaruh ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan kes penyelewengan dana derma awam, disyaki sudah melakukan perbuatan itu sejak 2020.
Sumber SPRM memberitahu, anggaran kutipan derma mencecah RM3 juta dan siasatan masih di peringkat awal.
Dalam satu lagi kes, bapa kepada bayi yang maut di pusat asuhan, Nour Rania Asyifaa atau Baby Syifaa, didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas tuduhan penipuan dan penyelewengan dana disumbangkan untuk urusan yuran guaman.
Tertuduh, Yuseri Yusoff, 41, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Mengulas lanjut, Shahul turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya membuang stigma ‘aku dah menderma, kalau mereka nak menipu itu antara dia dengan Tuhan’, kerana pemikiran seumpama itu hanya menggalakkan sindiket penipuan itu berleluasa sehingga kemungkinan tidak dapat dibendung di kemudian hari.
“Kita tidak boleh berserah macam itu sebab kita diberikan akal fikiran. Jika kita terus berfikiran seperti itu, ia seolah-olah memberi isyarat kita menggalakkan mereka untuk menipu lagi.
“Jadi, untuk mencegah daripada ia terus berlaku sehingga menjadi ‘penyakit’, kita perlu berhati-hati dan melakukan sedikit pemeriksaan sebelum memberikan sumbangan kepada mana-mana pihak yang ingin dibantu,” katanya. – 14 Julai, 2024