KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) dijangka terus ‘mendendangkan’ isu BlackRock dan penyasaran subsidi diesel dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan suslan kemenangan atas isu yang sama ketika berkempen di Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Penganalisis Sosiopolitik dari Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, biarpun isu nasional dilihat tidak wajar dimainkan namun ia strategi untuk ‘memancing’ undi.
“Tidak dinafikan isu kenaikan harga diesel dan BlackRock menjadi kekuatan PN dalam ceramah mereka di PRK Sungai Bakap tempoh hari tetapi isu ini tidak diberikan pencerahan dan penjelasan menyeluruh kepada penduduk (memainkan sentimen mengelirukan pengundi).
“Isu BlackRock misalnya, ketika PN berkuasa mereka juga terlibat dalam kelulusan dan tidak menghalang penglibatan BlackRock dalam perdagangan di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Scoop hari ini.
Awang Azman berkata, mendepani dua isu tersebut, Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku ketika PRK Sungai Bakap bagi mengelak pengundi mereka beralih arah.
“Jadi untuk elak undi penyokong hilang, saya berpendapat dari segi kempen mereka (Kerajaan Perpaduan) perlu selaraskan isi kandungan ceramah yang ingin disampaikan agar penjelasan lebih baik (dan mudah difahami penduduk) dapat diberikan, daripada yang berlaku ketika di Sungai Bakap,” katanya.
Mengulas isu sama, Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan membenarkan apa yang dikatakan Pengarah PRK DUN Nenggiri yang juga Ketua Umno Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah serta Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Menurutnya, mana-mana pemimpin dalam kalangan PH dan BN yang mahu turun padang berkempen di Nenggiri perlu ditapis kerana sentimen penduduk di Kelantan ketika ini tidak begitu memihak kepada Kerajaan Perpaduan.
“Untuk elak undi terus hilang ini, saya ambil saranan dua pemimpin Umno itu yang mengatakan, orang (pemimpin politik) yang (turun) berkempen itu mesti ditapis terutama sekali daripada PH.
“Pada saya, semua perlu terap persepsi bahawa PRK Nenggiri ini merupakan pertembungan di antara Umno dan PAS, bukan Kerajaan Persekutuan.
“Jadi seboleh-bolehnya masa berkempen, orang PH tidak benarkan untuk berkempen kerana menerusi pemerhatian, penduduk di Kelantan mereka tidak suka (Kerajaan Persekutuan), kalau boleh dielakkan penglibatan orang politik yang berkait dengan Kerajaan Persekutuan (untuk turun berkempen bagi calon),” katanya.
Scoop sebelum ini melaporkan Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengumumkan kerusi DUN Nenggiri dikosongkan.
Keputusan itu dibuat selepas DUN Kelantan pada 13 Jun lalu, menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan daripada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Bersatu mengenai keahlian bekas Adun Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang hilang daripada Bersatu.
Susulan itu, Mohd Azizi memfailkan injunksi untuk menghentikan pilihan raya kecil DUN itu daripada diadakan sehingga saman pemulanya diputuskan.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan injunksi terbabit.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan manakala tarikh penamaan calon serta pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos akan datang. – 10 Julai, 2024