DENGAN kekalahan calon Pakatan Harapan (PH) / Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil DUN Sungai Bakap, ada pihak mula mempersoalkan tahap kekuatan perpaduan dalam Kerajaan Perpaduan antara PH dan BN.
Adakah perpaduan itu kukuh atau rapuh? Pelbagai teori dikemukakan bagi menjustifikasikan kekalahan calon PH/BN tersebut. Rasanya lebih elok kita melihat kepada komentar dari pemimpin PH sendiri.
Ketua Menteri Pulau Pinang misalnya, menyifatkan kekalahan tersebut kerana kekalahan naratif. Beliau berhujah kekalahan PH/BN kali ini dan kemerosotan undi pengundi Cina secara khusus disebabkan oleh pelbagai isu nasional seperti subsidi, persepsi inflasi, kos sara hidup dan beban rakyat.
Seorang pemimpin Umno pula menganggap antara punca kekalahan disebabkan faktor Najib. Pemimpin itu berhujah berdasarkan perkiraan ahli Umno dan sympathisers Najib, selagi dia dinafikan hak dan perbicaraan adil, sokongan pengundi Melayu tidak akan pulih.
Pemimpin Umno yang sama itu juga mengingatkan pemimpin PH/BN agar jangan memberi banyak alasan dan formula bagi menjustifikasi kekalahan tersebut. Beliau berpendapat kekalahan itu secara substantifnya kerana rakyat tidak puas hati kepada Kerajaan Madani dan ‘trust deficit’ telah kembali.
Beliau juga menyifatkan beberapa keputusan dan tindak-tanduk kerajaan selepas PRK Kuala Kubu Baharu (KKB) menjadi bola tanggung Perikatan Nasional (PN).
Ada juga pemimpin Umno yang berkomentar di dalam Facebook dengan lantang dan menyalahkan pemimpin PKR tertentu yang dianggap mengeluarkan kenyataan yang tidak bijak lalu membawa kekalahan calon PKR di Sg. Bakap.
Agak menarik juga media menyiarkan ada pemimpin DAP yang memaklumkan reaksi sebahagian pengundi cina di luar Sungai Bakap yang kelihatannya amat gembira dengan kekalahan calon PH/BN sehingga mereka bertepuk tangan apabila diberitahu keputusan pilihan raya kecil tersebut.
Sebelum saya mengulas lanjut isu ini saya harus tidak kedekut untuk mengucapkan tahniah kepada PAS kerana bukan sahaja parti itu berjaya mempertahankan kerusi Sungai Bakap tetapi berjaya memperolehi majoriti yang agak selesa iaitu majoriti 4,267 undi.
Analisis sepintas lalu menunjukkan peratusan undi dimenangi PAS meningkat daripada 52.7% pada pilihan raya negeri tahun lalu kepada 58.6% pada PRK kali ini.
Sebaliknya, undi PH merosot agak signifikan daripada 47.3% kepada 41.4%. Dalam mana-mana pilihan raya ada pelbagai faktor yang menentukan kemenangan dan kekalahan sesuatu parti yang bertanding.
Antara faktor tersebut adalah faktor strategi berkempen. Saya rasa strategi kempen PAS/PN dalam pilihan raya kecil ini agak berkesan dalam mempengaruhi pengundi memilih parti tersebut.
Meskipun ada pemimpin PKR yang mendakwa PAS dan PN memainkan isu perkauman, tuduhan itu begitu mudah ditangkis oleh PAS dengan PAS menjawab seperti berikut, “Adakah anda (PH) mengalami sindrom amnesia (pelupa)? Tidakkah anda sedar bahawa parti yang menjadi juara bertahan isu perkauman kini sedang bersama anda dalam kerajaan Madani?”
Mungkin agaknya Presiden Amanah bersetuju dengan hujah PAS tersebut.
Secara kebetulan memang wujud pelbagai polisi dan tindak tanduk Kerajaan Madani yang ibarat memberi bola tanggung kepada PAS/PN untuk ‘smash’ tepat ke arah gelanggang dan ‘smash’ tersebut berjaya mematikan pergerakan lawan.
Dalam politik khususnya politik tanah air – ada satu isu yang semua parti politik sama sekali tidak boleh memandang ringan. Ia ibarat ‘zon terlarang’ (a forbidden zone) yang tiada parti yang boleh memasukinya.
Apakah isu tersebut? Jawabnya isu bebanan kos sara hidup rakyat. Sama ada Kerajaan Madani suka atau tidak, peduli atau tidak, menerima atau tidak, mengaku atau tidak, isu bebanan kos sara hidup memang wujud dan begitu mencengkam rakyat.
Saya sendiri dapat merasakan hal tersebut apalagi mungkin rakyat di bawah. Isu kenaikan harga diesel secara mendadak bukan sahaja dikritik oleh setengah ahli ekonomi malahan rakyat kelihatannya begitu marah sekali. Justifikasi yang cuba diberikan oleh pihak Kerajaan Madani, bagi saya, tidak begitu diterima oleh rakyat.
Ya, mungkin sahaja isu penyelarasan harga diesel mungkin boleh memberi kesan positif kepada isu penarafan atau rating untuk kerajaan tetapi bagi rakyat di bawah ‘rating is highly irrelevant’ apabila mereka terbeban dengan kenaikan kos sara hidup! Bagi rakyat, kerajaan kena jaga kepentingan kami!
Apabila Perdana Menteri cuba menjustifikasi isu penyelarasan harga diesel yang membawa kenaikan harga diesel tersebut dengan alasan para Perdana Menteri sebelum beliau hakikatnya memang berhasrat melakukan hal yang sama tetapi mereka takut, saya dapati kenyataan PMX dijawab dengan agak baik oleh Tun Mahathir yang menyatakan, “Bukan kami takut tapi kami peduli (concern) dan simpati dengan rakyat!”
Suka atau tidak suka, saya dapat rasakan rakyat lebih cenderung bersetuju dengan Tun M dan ia kelihatan terbukti benar, paling kurang di Sungai Bakap. Dan naratif Kerajaan Madani berhubung isu kenaikan harga diesel, dengan hormat, tidak begitu meyakinkan dan kadangkala mesej yang disampaikan ke bawah juga tidak jelas dan mengelirukan.
Ya, para cybertrooper PH kelihatan berpesta mengkritik pedas kenyataan salah seorang pemimpin tertinggi PAS dalam sebuah ceramah mengenai anekdot keluhan orang kampung yang menggunakan motosikal yang dikaitkan dengan penggunaan minyak diesel.
Ya, mungkin kritikan itu agak adil tetapi dari sudut lain kita dapat melihat betapa isu kenaikan harga diesel itu menjadi antara isu besar dan dominan di Sungai Bakap.
Apabila ada bapak menteri khususnya dari PH yang memberi amaran jangan ada pihak yang cuba menaikkan harga barangan dengan kenaikan harga diesel yang begitu tinggi dan mendadak, amaran sebegitu dilihat tidak munasabah dan tidak logik.
Ya, anda tidak perlu menjadi ahli ekonomi untuk memahami kenaikan harga diesel yang begitu tinggi sudah pasti akan mempengaruhi harga barangan dan perkhidmatan atas faktor ‘spillover effect!’.
Dah realiti di bawah harga barangan memang naik kerana kenaikan harga diesel yang begitu tinggi! Dan para pemimpin PH/BN khususnya para bapak menteri dan timbalan mereka, maaf cakap, kelihatan begitu terpisah (disconnected) seperti langit dan bumi antara mereka dan rakyat bawahan apabila isu ini timbul.
Saya masih ingat bagaimana sebelum ini ramai dari pemimpin PH yang ada sekarang sering memperlekehkan hujah pemimpin BN dan Umno khususnya apabila mereka cuba mempertahankan polisi dan keputusan Kerajaan BN satu waktu dahulu.
Malangnya, ramai yang melihat kini para pemimpin PH kelihatannya seperti dijangkiti sindrom yang sama di mana mereka agak kerap memberi alasan alasan ‘yang tidak cerdik’ apabila cuba membela keputusan Kerajaan.
Dan malangnya sindrom memberi hujah-hujah yang ‘tidak cerdik’ juga terkena kepada penyokong PH khususnya cybertrooper mereka. Ada pihak yang dengan secara bergurau memberitahu saya ‘tu lah bila depa (pemimpin PH) berkawan dengan Umno, depa pun dah jadi ‘sengal’ macam Umno’…..bersambung – 7 Julai, 2024
Mohamed Hanipa Maidin adalah mantan Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri Undang-Undang