KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman dua individu lagi melibatkan seorang pengerusi dan pengarah syarikat sub kontraktor kerana dipercayai terbabit rasuah bagi pembinaan satu projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih RM1 bilion.
Suspek iaitu pengerusi syarikat bergelar Datuk telah direman selama lima hari sehingga 6 Julai ini manakala pengarah syarikat itu pula direman tiga hari sehingga 4 Julai.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, hari ini.
Menurut sumber, kedua-dua suspek, lelaki berusia lingkungan 40-an hingga 50-an ditahan antara jam 9 hingga 12 tengah malam tadi ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
“Kedua-dua suspek disyaki telah memberi rasuah lebih RM200,000 kepada pegawai-pegawai badan berkanun sebagai balasan bagi mendapat kerja-kerja projek pembinaan lebuh raya yang sebelum ini dijalankan satu syarikat lain.
“Mereka juga dipercayai turut memberi rasuah kepada pegawai-pegawai di sebuah syarikat konsesi lebuh raya untuk tujuan yang sama,” katanya.
Sementara itu Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta SPRM 2009.
Beliau turut mengesahkan kesemua suspek yang ditahan reman sebelum ini telah dilepaskan selepas tamat tempoh reman termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat konsesi lebuh raya pada Isnin dengan jaminan RM150,000. – 2 Julai, 2024