KUALA LUMPUR – Kerajaan akan membuka semula sistem pendaftaran Pangkalan Data Utama (Padu) di bawah fasa kedua.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ini bagi membolehkan individu yang belum mendaftar dapat mengemas kini maklumat masing-masing mengikut tempoh yang akan ditetapkan.
“Kerajaan menyeru agar semua pihak dapat memberikan kerjasama dalam meningkatkan kesedaran rakyat akan kepentingan penggunaan data Padu.
“Pada masa hadapan, data Padu akan menjadi rujukan utama dalam pembentukan program intervensi kerajaan dan pengenalpastian kumpulan penerima bantuan,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Anyi Ngau (GPS- Baram) mengenai kedudukan terkini mengenai sistem Padu di Sarawak dan langkah ditetapkan supaya penduduk di negeri itu khususnya golongan B40 tidak tersisih daripada objektif sistem tersebut.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata, sehingga tamat tempoh pendaftaran pada Mac lalu, seramai 10,544,016 juta individu sudah mengemaskinikan maklumat dalam sistem tersebut.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 1,071,796 juta rakyat di Sarawak telah mengemas kini maklumat di Padu,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan Sarawak memutuskan untuk menangguhkan pendaftaran Padu di negeri itu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, berkata perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet negeri itu, berikutan timbul keraguan berhubung maklumat peribadi individu.
Susulan itu, Sarawak meminta beberapa perubahan dibuat berkait maklumat peribadi yang diminta sistem Padu kerana mendaftar dengan sistem tersebut ibarat ‘menelanjangkan diri’ apabila mendedahkan semua butiran peribadi individu termasuk akaun bank, hartanah dan pelaburan.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, matlamat kerajaan menerusi penggunaan Padu adalah bagi meningkatkan kecekapan perancangan dasar dan pengagihan sumber, terutama penyasaran semula subsidi dan bantuan kerajaan agar lebih bersasar.
“Kerajaan komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat tercapai selaras dengan sasaran Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang mampan, sejahtera dan berpendapatan tinggi,” katanya. – 2 Julai, 2024