KUALA LUMPUR – Datuk Zulkafperi Hanapi menegaskan, tidak akan ada perbincangan lanjut antara beliau dengan kepimpinan Bersatu setakat ini, berhubung pemecatan dikenakan parti itu ke atasnya.
Ahli Parlimen Tanjong Karang itu berkata, beliau tidak akan berpatah balik atau membuat ‘pusingan u’ untuk kembali menyokong parti berkenaan.
Malah, katanya, beliau tetap dengan pendirian memberikan sokongan kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Setakat ini tak ada (perbincangan), Bersatu juga sudah isytihar tergugur keahlian saya dalam Bersatu jadi tak ada jalan pusing belakang lagi lah, itu yang kita maklum.
“Sebab itu saya tidak menjawab semua arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) tersebut kerana saya mahu bertanya dulu tentang keabsahan (mesyuarat mereka).
“Saya menyokong kepada kerajaan sedia ada sekarang,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di media sosial hari ini.
Zulkafperi berkata, pendirian itu selepas beliau tidak menjawab surat arahan diberikan MPT untuk ‘kembali taat’ sehingga keahliannya sebagai ahli Bersatu digugurkan.
“Ini kerana saya bertanya dulu mengenai keabsahan membabitkan beberapa perkara, tetapi tidak dijawab. Malah tindakan Bersatu membuat pindaan Perlembagaan parti itu menyebabkan Adun Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari menulis surat aduan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), tapi dah berbulan RoS masih berdiam diri, tidak memberi sebarang jawapan.
“Lima lagi rakan Ahli Parlimen ini menggunakan point (perkara) sama seperti saya dalam soalan dikemukakan kepada Bersatu, keadaan mereka sama, situasi sama, mereka juga tulis surat minta penjelasan Setiausaha Agung, dia tidak menjawab surat kami,” katanya.
Meskipun menganggap pengguguran keahlian mereka dibuat secara tidak adil, Zulkafperi menegaskan, beliau tidak berhasrat memanjangkan isu terbabit ke mahkmah kerana masih tiada keperluan untuk berbuat demikian setakat ini.
Sebaliknya, beliau berkata, beliau dan enam Ahli Parlimen terbabit sudah memberikan segala penjelasan mengenai situasi berlaku dan semua proses dijalani mereka kepada Speaker.
Justeru, mereka menyerahkan kepada kebijaksanaan Speaker dan mengharapkan keputusan sewajarnya ditetapkan.
“Memang begitu, keputusan memang daripada Speaker, parti juga tak boleh buat apa, parti cuma boleh beritahu keahlian kita terhenti atau dia pecat, memang keputusan atas Speker.
“Ini semua atas kebijaksanaan budi bicara Speaker, apabila Speaker mengeluarkan keputusan, terserah kepada saya sebagai Ahli Parlimen dan terserah kepada parti untuk majukan kepada mahkamah, itu saja (pilihan) yang ada,” katanya.
Sementara itu, ditanya adakah beliau sudah bersedia menghadapi pilihan raya sekiranya Tanjong Karang mengalami nasib sama seperti Nenggiri kerana terpaksa dikosongkan, Zulkafperi menegaskan masih terlalu awal membuat komen atau spekulasi mengenainya.
Malah, beliau memberikan jawapan sama apabila ditanya tiket parti mana akan ditandinginya susulan pengguguran keahlian daripada Bersatu.
Diaju sejauh mana keyakinannya untuk memenangi kerusi jika bertanding pada pilihan raya akan datang, Zulkafperi enggan mengulas lanjut.
“Itu (semua) terlalu awal untuk saya mengatakan apa-apa, saya tak mahu buat sebarang spekulasi mengenai perkara tersebut, kita sama-sama tunggu,” katanya.
Terdahulu, tujuh wakil rakyat Bersatu menyatakan sokongan kepada kepimpinan kerajaan Anwar, iaitu masing masih enam Ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).
Selain Zulkafperi, lima Ahli Parlimen itu adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), manakala Adun berkenaan adalah Abdul Rashid. – 30 Jun, 2024