Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Pemergian Syed Husin, satu kehilangan besar dalam dunia politik negara | Scoop

Pemergian Syed Husin, satu kehilangan besar dalam dunia politik negara

Syed Husin Ali, 87 meninggal dunia kira-kira jam 12.20 tengah malam tadi akibat kanser pankreas.

2:05 PM MYT

 


KOTA DAMANSARA – Jenazah Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Syed Husin Ali selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di sini kira-kira jam 11.15 pagi tadi.

Terdahulu, jenazah dimandi dan dikafankan di Hospital Selayang sebelum dibawa ke Masjid Kampung Tunku, Petaling Jaya untuk disolatkan.

Solat jenazah di masjid berkenaan diimamkan Ustaz Ahmad Saad dengan disertai jemaah yang hadir.

Antara pemimpin yang memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham termasuklah Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli; Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ahmad Farhan Fauzi serta bekas Naib Presiden PKR, R Sivarasa dan Tian Chua.

Sivarasa yang juga bekas Ahli Parlimen Subang ketika ditemui berkata, perjuangan Syed Husin yang berjuang untuk rakyat perlu dijadikan sebagai tauladan semua pemimpin.

R. Sivarasa ketika ditemui berkata, perjuangan Syed Husin yang berjuang untuk rakyat perlu dijadikan sebagai tauladan semua pemimpin – Azim Rahman/Scoop, 29 Jun, 2024

“Banyak idea, pandangan dan curahan pengalaman beliau yang dikongsi dalam buku penulisannya yang boleh dibaca oleh semua.

“Beliau antara intelektual awam di negara ini yang boleh dikelaskan dalam kedudukan lima terbaik dan itu sumbangan beliau terutama menerusi politik sangat jelas kepada semua.

“Beliau bersama pimpinan lain berjaya membina parti berbilang kaum terbesar dalam sejarah negara,” katanya.

Bekas Ahli Parlimen Batu, Tian Chua pula menyifatkan Allahyarham Syed Husin seorang yang patriotik, memperjuangkan semangat nasionalisme yang progresif, mempertahankan kaum tertindas dan tegas dalam pendirian antiimperialisme serta perjuangan Palestin dan hak asasi manusia.

Tian Chua menyifatkan Allahyarham Syed Husin seorang yang patriotik serta memperjuangkan semangat nasionalisme yang progresif – Azim Rahman/Scoop, 29 Jun, 2024

“Hari yang sangat sedih apabila mendapat perkhabaran Dr Syed Husin sudah meninggalkan kita semua, beliau juga rakan perjuangan dan guru kepada saya.

“Beliau adalah seorang ahli politik yang berprinsip, jarang dalam arena politik ini ada yang jujur, berpegang kepada kepercayaan.

“Walaupun beliau tidak pernah memegang kuasa (dalam kerajaan), tapi beliau telah memberi sumbangan besar dalam lanskap politik negara,” katanya yang mengenali sudah Syed Husin lebih 30 tahun.

Syed Husin Ali, 87, meninggal dunia kira-kira jam 12.20 tengah malam tadi akibat kanser pankreas. Allahyarham dimasukkan ke Hospital Selayang sejak 18 Jun lalu.

Allahyarham meninggalkan tiga anak hasil perkahwinannya dengan Allahyarham Sabariah Abdullah.

Syed Husin pernah berkhidmat sebagai Senator Dewan Negara, Timbalan Presiden Keadilan, Presiden Parti Rakyat Malaysia, dan profesor di Universiti Malaya. – 29 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Related