Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Syed Husin Ali meninggal dunia | Scoop

Syed Husin Ali meninggal dunia

Allahyarham Syed Husin pernah berkhidmat sebagai Senator Dewan Negara, Timbalan Presiden Keadilan, Presiden Parti Rakyat Malaysia dan profesor di Universiti Malaya

8:37 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Syed Husin Ali, meninggal dunia di Hospital Selayang, awal pagi ini pada usia 87 tahun.

Berita duka mengenai pemergian Allahyarham, dikongsi oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menerusi akaun media sosialnya.

“Saya baru terima perkhabaran sedih yang Dr Syed Husin Ali, Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat Keadilan, telah pulang ke rahmatullah awal pagi tadi.

“Saya telah menziarah Allahyarham di Hospital Selayang pada Khamis lepas. Allahyarham telah dimasukkan ke hospital pada Hari Raya Haji kedua lalu,’’ katanya.

Allahyarham Syed Husin pernah berkhidmat sebagai Senator Dewan Negara, Timbalan Presiden Keadilan, Presiden Parti Rakyat Malaysia dan profesor di Universiti Malaya.

Menurut Fahmi, Allahyarham telah menerbitkan banyak buku termasuk Dua Wajah: Tahanan Tanpa Bicara yang mengisahkan pengalaman beliau ditahan di bawah ISA serta Sejarah dan Dasar Perjuangan Keadilan dan terlibat dalam pelbagai pilihan raya.

“Saya sendiri pernah membantu kempen Allahyarham pada PRU 2004 waktu beliau bertanding di PJ Selatan,’’ katanya yang memaklumkan Syed Husin pernah terlibat dalam banyak pilihan raya.

Fahmi menyifatkan Syed Husin sebagai seorang yang pandangannya cukup dihormati dalam parti dan sering menjadi rujukan pimpinan lain.

Allahyarham juga, kata beliau, seorang yang penyabar, lemah lembut, tegas dalam bab disiplin serta banyak menyampaikan nasihat.

“Semoga Allah SWT mengampuni segala dosa Allahyarham dan menempatkan rohnya di kalangan orang-orang beriman,’’ katanya.

Jenazah Syed Husin akan disolatkan di Masjid Kampung Tunku, Petaling Jaya pagi ini sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Kota Damansara.

Syed Husin yang dilahirkan di Johor, adalah seorang bekas profesor di Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya pada 1985 hingga 1990 dan dikurniakan tiga orang anak, hasil perkahwinan dengan Sabariah Abdullah.

Allahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Inggeris Kerajaan, Batu Pahat pada 1946 hingga 1953 sebelum meneruskan pelajaran di Kolej Inggeris, Johor Bahru (1954-1955).

Beliau juga adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Universiti Malaya (UM), Singapura (1956-1959), Sarjana (MA) UM Singapura (1963) dan Doktor Falsafah (PhD) (Sosiologi dan Antropologi) dari London School of Economics and Political Science, United Kingdom pada 1972.

Syed Husin memulakan perjalanan politiknya dengan menjadi ahli Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada 1960 sebelum bintangnya bersinar dan berjaya menjawat jawatan presiden parti itu pada 1990 hingga 2001 sebelum PRM bergabung dengan Parti Keadilan Nasional (Keadilan) pada Ogos 2003 dan membentuk Keadilan.

Pada pemilihan PKR pada 2004, beliau menang dengan 794 undi untuk jawatan Timbalan Presiden dan mengekalkan jawatan itu pada 2007 selepas menang tanpa bertanding.

Syed Husin yang dipilih Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bagi tempoh 2009-2015 sebagai Senator Dewan Negara, telah menghasilkan pelbagai buku antaranya Social Stratification in Kampung Bagan (1966), Malay Peasant Society and Leadership (1975), Kemiskinan dan Kelaparan Tanah di Kelantan (1978), The Malays, Their Problems and Future (1981), Poverty and Landlessness in Kelantan, Malaysia (1983), Ethnicity dan Class and Development, Malaysia (1984). – 29 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Related