KUALA LUMPUR – Selepas meraih kutipan RM10 juta di pawagam tempatan sejak mula ditayangkan 23 Mei lalu, filem aksi jenayah heist, The Experts mencipta pencapaian membanggakan apabila terpilih mewakili Malaysia ke Festival Filem Antarabangsa Shanghai (SIFF) bulan ini.
Diletakkan di bawah segmen ‘The Belt and Road Film Week’, filem dilabel bertaraf Hollywood itu, bakal ditayangkan di beberapa lokasi bermula 14 Jun lalu hingga 23 Jun ini, termasuk di Shanghai, Nanjing, Suzhou, Hangzhou, Ningbo dan Hefei di China.
The Experts menjadi antara filem pilihan untuk segmen tersebut, sebaris filem luar negara, antaranya Sima’s Unfinished Narration dari Iran, Pictures of Ghost (Brazil), Matryoshka (Jerman), Children of the Sea (Jepun) dan Nasty (Itali).
Mengulas mengenai pemilihan The Experts ke festival filem berprestij itu, Penerbit Eksekutif The Experts yang juga Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya berbesar hati serta teruja untuk mempersembahkan karya berkenaan mewakili negara di pentas antarabangsa.
“Pencapaian ini mengukuhkan maklum balas penonton yang merasakan The Experts memiliki kualiti produksi tinggi dengan jalan cerita universal.
“Peluang sebegini pastinya menjadi pemangkin buat kami serta pengkarya seni tanah air, terus mempersembahkan naskhah hebat dari Malaysia kepada penonton di seluruh dunia,” katanya.
Arahan Andre Chiew dan Nizam Shah, The Experts dibarisi pelakon Datuk Aaron Aziz, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Remy Ishak, Ray Dapdap, Maya Karin, Tony Eusoff, Wan Hanafi Su, Jay Iswazir, Douglas Lim serta Michael Ang.
Ia mengisahkan lima beradik yang lama meninggalkan kegiatan merompak, kembali berkumpul kerana satu ugutan.
Mereka mendapat arahan daripada gengster paling merbahaya untuk melakukan satu lagi rompakan besar berisiko tinggi.
Dalam pada itu, mereka masih dibayangi dendam lama daripada tragedi keluarga serta sejarah kejahatan lampau.
Bagaimana mereka harus berdepan musuh dan melindungi keluarga? Adakah misi rompakan ini akan menjadi kali terakhir untuk lima beradik ini bersama?
Filem terbitan Astro Shaw dengan kerjasama ZAK Capital dan TGV Pictures itu juga masih ditayangkan di pawagam tempatan. – 18 Jun, 2024