KUALA LUMPUR – Perternak ayam mengakui kos operasi harian mereka terkesan susulan langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel.
Bercakap kepada Scoop, Timbalan Pengerusi Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS), Idrus Zainal berkata, ramai penternak menggunakan bahan api itu bagi pengangkutan, jana kuasa dan traktor di ladang.
“Memang kami amat terkesan dengan pelarasan harga diesel ini kerana ramai penternak guna kenderaan berdiesel memandangkan ladang jauh daripada jalan besar.
“Kami juga sudah mohon Budi Madani namun setakat ini belum ada ahli yang terima respons lagi. Kami pemudah cara untuk beri ayam yang elok yang murah dan bagus kepada rakyat, jadi (kerajaan) bantulah juga kami, kalau ayam naik harga, jangan salahkan kami.
“Kami mengambil kira semua kos kenaikan ini, menjadi adat orang yang berniaga, malah Rabu depan kami akan adakan mesyuarat bagi membincang hal berkaitan termasuk beban kenaikan diesel ini,” katanya hari ini.
Namun beliau berkata, penternak masih mengekalkan harga jualan peringkat ladang pada harga RM6.90 bagi seekor ayam.
“Setakat hari ini kita masih kekal harga itu di peringkat ladang, tiada kenaikan,” katanya.
Selain itu Idrus turut memaklumkan syarikat pembekal (integrator) yang menjual makanan ayam, anak ayam, ubat-ubatan dan jualan ayam kepada penternak turut terkesan dengan kenaikan itu namun mengambil pendekatan tunggu dan lihat ketika ini.
“Mereka juga sangat resah, sebab bukan sedikit kenaikan itu, mungkin selepas ini mereka akan minta campur tangan pemimpin politik.
“Syarikat integrator ini maklum, tunggu dan lihat untuk langkah seterusnya dan apa reaksi kerajaan untuk membantu,” katanya.
Sementara itu Penasihat Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Datuk Jeffrey Ng berkata, antara syarat layak permohonan subsidi Budi Agri-komoditi adalah pengusaha pertanian kecil yang aktif menjana nilai jualan hasil pertanian tahunan dari RM50,000 hingga RM300,000.
Beliau berkata, kebanyakan penternak memperoleh hasil jualan melebihi RM300,000 menyebabkan mereka tidak layak untuk menerima subsidi.
“Pada masa sama, petani kecil turut terbeban dengan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), di mana penghantaran barang bagi setiap metrik tan akan dikenakan caj tambahan RM2 hingga RM3.
“Kami terpaksa menanggung kos berkenaan, namun pada masa sama perlu mengekalkan harga barangan tanpa memindahkan kos kepada pelanggan. Perkara ini sangat membebankan,” katanya.
Pada 9 Jun lepas, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 bagi setiap liter iaitu harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Mekanisme Harga Automatik bermula 10 Jun.
Beliau berkata, penetapan harga dan pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun di samping mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang. – 18 Jun, 2024