KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis berusia 25 tahun, ditemui tidak bernyawa di tiang besi atas penghadang di dalam tandas di hentian rehat dan rawat (R&R) lebuh raya, di Nilai petang semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Abdul Malik Hasim dalam kenyataannya hari ini berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada orang awam mengenai kejadian itu pada jam 5.45 petang.
Jelasnya, mangsa adalah merupakan seorang anggota polis yang bertugas di Kontinjen Kuala Lumpur.
“Hasil siasatan awal mendapati si mati berumur 25 tahun yang telah berkahwin dijumpai mati di tiang besi atas penghadang di dalam tandas,’’ katanya.
Abdul Malik berkata, Bahagian Forensik Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Negeri Sembilan membantu siasatan di tempat kejadian dan mendapati tiada kesan kecederaan pada tubuh si mati.
Justeru, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Abdul Malik turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi polis dan dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian itu. – 14 Jun, 2024