Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Nahas bas ekspres, treler: Fadhlina rakam takziah, KPM akan beri sokongan | Scoop

Nahas bas ekspres, treler: Fadhlina rakam takziah, KPM akan beri sokongan

Fadhlina turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga guru wanita, Allahyarhamah Hasnatul Adila Hasan dan pemandu bas yang meninggal dunia

11:04 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan membantu sebaik mungkin bagi menyokong keperluan setiap guru yang terbabit dalam kemalangan antara sebuah bas ekspres dengan treler di Muadzam Shah, Pahang, tengah malam tadi.

Menterinya, Fadhlina Sidek turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga guru wanita, Allahyarhamah Hasnatul Adila Hasan dan pemandu bas yang meninggal dunia dalam nahas terbabit, selain mendoakan roh kedua-dua mangsa dicucuri rahmat.

“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga guru Allahyarhamah Puan Hasnatul Adila Hasan dan pemandu yang meninggal dunia serta mendoakan roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah SWT. Innalillahi wainna ilayhi rajiun.

“Didoakan juga agar semua guru yang cedera akan segera sembuh dan kembali aktif seperti biasa untuk menjalankan amanah sebagai pendidik bangsa,” katanya.

Fadhlina juga menyifatkan berita mengejutkan itu pastinya menjadi kisah duka seluruh rakyat Malaysia.

“Menerima perkhabaran mengejutkan awal pagi tadi. Sebuah bas persiaran yang membawa rombongan guru daripada SK Jeram Masjid Tanah, Melaka terbabas dan terjunam selepas terlibat kemalangan dengan sebuah treler.

“Kejadian berlaku di Lebuhraya Tun Abdul Razak berhampiran simpang tiga Keratong, Muadzam Shah semasa bas yang membawa 39 penumpang, termasuk dua pemandu dalam perjalanan ke Terengganu,” katanya.

Terdahulu, Scoop melaporkan, dua maut dalam kemalangan ngeri membabitkan sebuah bas ekspres dan treler di Simpang 3 Keratong, Muadzam Shah, Pahang tengah malam tadi.

Sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) memaklumkan kepada Scoop, mangsa maut adalah guru dan penumpang bas.

“Bas itu dalam perjalanan dari Melaka ke Terengganu membawa rombongan guru sekolah, sempena lawatan penanda aras.

“Rombongan dari Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Masjid Tanah Melaka,” menurutnya.

Video mengenai kejadian terbabit memaparkan bas itu terbabas ke ladang kelapa sawit di sisi jalan.

Beberapa mangsa kemalangan bergelimpangan di jalan dan meraung kesakitan, sambil ditenangkan serta dibantu orang awam.

Malah, barangan milik penumpang bas itu dilihat bertaburan di atas jalan.

Difahamkan, semua mangsa terlibat, termasuk yang parah dibawa ke Hospital Muadzam Shah untuk tindakan selanjutnya. – 9 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Related