Akui kecewa tiada bantuan diterima, Showcase Amal Artis Legenda 4.0 acara terakhir dianjurkan Nizam Laksamana

Antara penerima sumbangan adalah pelakon Isma Alif, Jalil Hamid, Dwan Olan, Nik Putra, Ezam Eye, Malek Zabarjad, Ali XPDC dan Yazid Sejati

Nizam Laksamana (lima dari kanan) bersama para artis yang menjayakan Showcase Amal Artis Legenda 4.0. Meskipun berdepan cabaran, Nizam berkata, dia cuba membuktikan mampu menganjurkan sendiri acara tersebut walaupun bukan berskala besar - Gambar Ellyna Ali/Scoop, 4 Jun, 2024

KUALA LUMPUR – Sudah empat kali, penyanyi Nizam Laksamana menganjurkan Showcase Amal Artis Legenda bagi membantu rakan artis yang sakit serta berdepan kesukaran untuk meneruskan kehidupan.

Bagaimanapun isu dihadapinya tetap sama iaitu tiada bantuan diterima daripada mana-mana pihak untuk menyokong usaha tersebut.

Susulan itu, Nizam memaklumkan Showcase Amal Artis Legenda 4.0 yang diadakan di Hotel Grand Baraqah, Ampang, Sabtu lalu, bakal menjadi acara terakhir dianjurkannya.

Bercakap kepada Scoop, Nizam mengakui kecewa dengan keadaan yang sama berlaku setiap kali dia menganjurkan showcase amal tersebut biarpun ia sudah memasuki siri keempat.

Antara yang membuat persembahan pada malam itu ialah Zarul Umbrella. Showcase Amal Artis Legenda 4.0 dianjurkan Nizam melalui Nizam Laksama Productions bagi membantu dan menyokong penggiat seni, pengamal media serta bekas pesakit kanser – Ellyna Ali/Scoop, 4 Jun, 2024

“Sangat penat sebenarnya menganjurkan showcase seumpama ini. Orang nampak sukses tetapi mereka tidak tahu banyak cabaran terpaksa saya hadapi.

“Penat dan mencabar kerana kita buat showcase ini dengan tiadanya duit atau sebarang dana. Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Lebih-lebih lagi banyak bantuan diberikan kepada mereka yang ingin buat konsert.

“Tapi, perkara itu tidak terjadi. Saya bukan mahu duit tapi mahu bantuan dan bincang apa yang kita boleh buat bersama. Saya pernah mendekati beberapa pihak tetapi mungkin, kita tiada nama jadi tiada siapa yang pandang,” katanya.

Meskipun berdepan cabaran itu, Nizam berkata, dia cuba membuktikan mampu menganjurkan sendiri acara tersebut walaupun bukan berskala besar.

Ameng Spring (kiri) dan Mawi (kanan) menghiburkan penonton yang hadir pada majlis malam itu. Kata Nizam, hampir 60 peratus penonton yang datang adalah orang sama yang menyokong usaha ini sejak showcase pertama lagi – Ellyna Ali/Scoop, 4 Jun, 2024

“Apa yang penting, kita cuba membantu rakan-rakan artis yang memerlukan setakat apa yang kita mampu. Sekurang-kurangnya, kita berusaha membantu dengan mengharapkan sokongan orang ramai.

“Alhamdulillah, hampir 60 peratus penonton yang datang adalah orang sama yang menyokong usaha ini sejak showcase pertama lagi.

“Setakat ini, saya memang puas hati. Tapi, cukup setakat ini dahulu. Kita buka buku baru tetapi kerja-kerja amal akan tetap diteruskan,” katanya.

Jelas Nizam, selepas ini dia berhasrat untuk membawa isterinya mengerjakan umrah.

“Itu memang niat saya dan keadaan kesihatan isteri semakin baik, tetapi saya tidak boleh kata penyakit kanser payu daranya sudah sembuh.

“Saya harap dengan membawa dia ke Makkah, ia akan memberikan satu keajaiban buat kami sekeluarga,” katanya.

Nizam Laksamana (kanan) selaku penganjur Showcase Amal Artis Legenda 4.0 menyampaikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada wakil Cancer Survivors Malaysia (CSM) (kiri) – Ellyna Ali/Scoop, 4 Jun, 2024

Showcase Amal Artis Legenda 4.0 yang mendapat sokongan pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) Cancer Survivors Malaysia (CSM) dianjurkan Nizam melalui Nizam Laksama Productions bagi membantu dan menyokong penggiat seni, pengamal media serta bekas pesakit kanser.

Antara penerima sumbangan adalah pelakon Isma Alif, Jalil Hamid, penyanyi Dwan Olan, Nik Putra, Ezam Eye, Malek Zabarjad, Ali XPDC, Yazid Sejati, bekas wartawan Rosli Manah, Huzz, Nas Ahmad dan rakan industri Johan Aziz dan Ridzuan Abdul Rahman.

Sumbangan berjumlah RM10,000 diserahkan kepada pihak CSM serta RM1,000 kepada pesakit kanser otak (medulloblastoma), Nur Umairah Abdul Rahman, 10.

Antara artis yang menjayakan showcase amal itu termasuk Tam Spider, Ameng Spring, Mawi, Dwen, Ady Wow, Wann, Acong Sweetchild, Zarul Umbrella, Shafie Rio, Zamani Slam serta Nizam sendiri. – 4 Jun, 2024