PETALING JAYA – Ibu bapa kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin direman tujuh hari di Mahkamah Majistret di sini bagi membantu siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme itu yang ditemukan meninggal dunia berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai, 6 Disember tahun lalu.
Perkara itu disahkan peguam, Mahmud Abdul Jumaat ketika ditemui media di pekarangan mahkamah hari ini.
“Mereka ditahan reman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan polis terhadap kes tersebut.
“Oleh kerana ia masih dalam tempoh reman, dan reman ini untuk melengkapkan siasatan dan kita tidak tahu lagi siapa lagi yang bakal dituduh. Sekiranya habis siasatan nanti dan apabila siasatan dilengkapkan dan dihantar ke Pendakwa Raya, masa itu kita tahu siapa suspek utama kes ini.
“Pihak polis menemukan beberapa perkembangan terbaru dan buat masa ini kita tak boleh membuat sebarang spekulasi, saya mohon semua bersabar dan mendoakan agar keluarga ini kuat menerima ujian ini,” katanya.
Mahmud berkata, pihaknya amat terkejut dengan penahanan itu memandangkan kedua-duanya adalah ibu serta bapa kepada mangsa.
“Dan ini satu perkara yang tidak dijangkakan. Saya pun agak terkejut dan percaya semua satu Malaysia terkejut dengan ini. Saya mohon semua mendoakan agar keluarga ini kuat.
“Saya percaya, kita beri ruang kepada polis menjalankan siasatan untuk mendapatkan keadilan,” katanya.
Terdahulu Majistret Azura Mohd Saad mengeluarkan perintah reman itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak polis.
Dalam pada itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Bahagian D9, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor telah membuat tangkapan ke atas kedua ibu bapa kanak-kanak terbabit pada jam 10.05 pagi semalam.
Katanya, kedua-duanya direman bagi membantu siasatan kes bunuh tersebut.
Pada 5 Disember tahun lepas, Zayn Rayyan, 6, dilaporkan hilang di Damansara Damai, Selangor sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200 meter dari blok rumahnya di Apartment Idaman pada keesokan harinya.
Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badan kerana mempertahankan diri.
Pada Februari lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menegaskan Polis Diraja Malaysia tidak pernah menghentikan siasatan kes pembunuhan kanak-kanak autisme itu.
Malah katanya, walaupun berdepan dengan cabaran termasuk dalam mengesan lokasi utama kes pembunuhan itu, namun pihak polis tidak berputus asa dan meneliti setiap maklumat diterima, untuk menyelesaikannya kes itu.
Beliau berkata setiap kepakaran yang ada di jabatan berkenaan termasuk dalam aspek forensik, telah dikerah bagi memastikan penjenah yang bertanggungjawab dapat diheret ke muka pengadilan. – 1 Jun, 2024