Tolong pantau syarikat produksi baharu, Jurey Latiff mohon Finas ketatkan pengeluaran SPP

Pemantauan dan evaluasi secara terperinci ini perlu dilakukan kerana kebanyakan syarikat produksi baharu ini bukanlah datang dari latar belakang industri kreatif sendiri

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia, Datuk Jurey Latiff Rosli memohon Finas agar tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan Sijil Perakuan Penggambaran (SPP) kepada mana-mana syarikat produksi baharu yang ingin menerbitkan kandungan drama, filem mahu pun dokumentari. - Gambar Facebook Jurey Latiff, 24 Mei, 2024

KUALA LUMPUR – Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) perlu membuat penilaian ketat dan memantau syarikat produksi baharu sebelum mengeluarkan Surat Perakuan Penggambaran (SPP) bagi memelihara kualiti produk yang dihasilkan.

Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Datuk Jurey Latiff Rosli ketika dihubungi Scoop berkata, pemantauan dan penilaian terperinci itu perlu dilaksanakan memandangkan kebanyakan syarikat produksi baharu yang mendapat projek untuk menghasilkan kandungan drama, filem mahu pun dokumentari didakwa tidak mempunyai latar belakang industri kreatif.

“Mereka (berada) dalam industri ini kerana mahu cari peluang untuk buat duit. Mereka tidak faham proses dan tidak hormat cara etika kerja di dalam industri ini serta tidak faham dan tidak mengenali artis veteran yang sepatutnya kita hormati.

“Mereka juga tidak peduli dengan masalah yang dialami oleh pekerja filem dan industri, apatah lagi untuk memartabatkan industri hiburan tanah air.

“Janji mereka dapat buat duit, boleh buat untung, itu sahaja yang mereka fikirkan justeru Finas harus menilai semula pemberian lesen kepada golongan yang suka mengambil kesempatan seperti ini kerana ia akan merosakkan industri hiburan negara,’’ katanya.

Jurey berkata, penggiat seni tidak pernah menghalang atau mengekang kemasukan syarikat produksi baharu, namun sebaiknya SPP memberikan keutamaan kepada syarikat yang mempunyai pengalaman dan telah lama terlibat dalam industri hiburan negara. – Gambar Facebook Jurey Latiff, 24 Mei, 2024

Jurey memberitahu, penggiat seni tidak pernah menghalang atau mengekang kemasukan syarikat produksi baharu ini namun sebaiknya SPP memberikan keutamaan kepada syarikat yang mempunyai pengalaman dan telah lama terlibat dalam industri hiburan negara.

“Kalau nak berikan lesen kepada syarikat baharu ini, sekurang-kurangnya pastikan mereka mempunyai pengalaman agar isu melibatkan bayaran rendah atau tidak setimpal kepada pelakon veteran, isu pekerja filem yang masih belum menerima bayaran, isu pelanggaran kontrak serta kebajikan pekerja dapat dipantau,’’ katanya.

Beliau juga mahu Finas mengawal pengeluaran SPP dengan meletakkan syarat-syarat tertentu yang lebih ketat dan tidak sewenang-wenangnya diberikan kepada pemohon.

“Macam kita nak pandu kereta. Kita perlu dapatkan lesen namun dalam proses itu kita perlu ke kelas memandu dan menghadiri ujian. Begitulah lebih kurang caranya.

“Cara ini (proses sedia ada) dapat mengekang siapa-siapa sahaja untuk masuk ke industri ini dengan sesuka hati? Sampai bila industri kita hendak jadi macam ini.

“Kita mempunyai banyak graduan dalam bidang seni tetapi mereka tidak boleh cari makan dalam industri ini dan terpaksa bekerja luar bidang pengajian mereka.

“Ini sesuatu yang menyedihkan dan keadaan ini berlaku kerana terlalu banyaknya opporturnis yang berada di dalam industri kita,’’ katanya. – 24 Mei, 2024