Sudah rancang pentaskan semula Lantai T Pinkie, Siti Rohayah anggap sayap kirinya patah selepas pemergian Rosminah Tahir

Siti Rohayah dan Rosminah merancang untuk mementaskan semula Lantai T Pinkie tahun ini sehingga 2027 sempena Hari Wanita Malaysia, Hari Merdeka dan Tahun Melawat Malaysia

Siti Rohayah Attan (kiri) mengakui, pemergian Rosminah Tahir (dua, kiri) semalam membuatkan dirinya seperti seekor burung yang patah sayap kiri, apatah lagi mereka sudah merancang untuk mementaskan semula teater Lantai T Pinkie tahun ini. - Gambar Siti Rohayah Attan, 20 Mei, 2024

KUALA LUMPUR – Penggiat seni teater, Siti Rohayah Attan menganggap dirinya ibarat seekor burung yang patah sayap kiri selepas pemergian Rosminah Tahir yang pergi menyahut seruan Ilahi, semalam.

Bercakap kepada Scoop, Siti Rohayah yang mesra disapa Roy berkata, sehingga saat ini dia tidak dapat menggambarkan perasaannya susulan kematian Rosminah, yang juga aktivis teater, apatah lagi mereka sudah bersahabat selama 30 tahun.

“Ramai orang fikir kami akrab disebabkan teater. Sebetulnya bukan dunia teater yang merapatkan kami tapi hoki kerana kami adalah pemain hoki untuk Universiti Sains Malaysia (USM) ketika sama-sama belajar di sana.

“Di USM, kami sama-sama ambil jurusan seni persembahan kreatif tetapi Rosminah adalah senior saya setahun dan disebabkan kami anak orang susah, kami cari duit dengan buat skrip drama radio.

“Kalau skrip drama radio itu ditulis Rosminah, kami yang akan berlakon termasuklah Zaifri (Husin), Zaib dan Tamimi Siregar (sekarang Datuk).

Siti Rohayah dan Rosminah ketika bergambar bersama Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said (tiga, kanan) yang juga penulis novel legenda, Lantai T Pinkie. – Gambar Facebook, 20 Mei, 2024

Kalau skrip saya pula, mereka pulalah yang jadi pelakonnya,” katanya yang baharu pulang dari pengebumian Allahyarhaman Rosminah di Muar, Johor tadi.

Rosminah berkhidmat sebagai Dekan Fakulti Teater Aswara berbakat menulis drama pentas, radio, filem TV, selain cerpen, puisi dan artikel serta pernah menerbitkan beberapa buku termasuk Sabaruddin Chik Teknokrat Yang Tersingkir (2007), Kumpulan Drama Pentas Rosminah Tahir (2009), Produksi Teater (2012) dan Skrip ke Pentas (2011).

Selain Anugerah dan Lantai T Pinkie, Rosminah yang sudah mengarah puluhan teater sejak 1970-an pernah mengarahkan teater Malam Haram (l999), Raden Galoh (2000), Medea (2000), Tengku Anum (2002), Puteri Hang Li Po (2004) Teater Muzikal Tun Mahathir (2010 & 2011), Nyonya and The Gang (2013), Teater Di Bawah Lindungan Kaabah (2014), 4 Nyonya 4 Dara (2021) serta banyak lagi.

Mengulas lanjut, Roy berkata, selepas berhenti kerja sebagai wartawan di Utusan Malaysia dan bergiat aktif untuk menerbitkan pementasan teater di bawah syarikat produksi miliknya sendiri iaitu CTRA Productions, mereka sering bekerjasama.

Siti Rohayah berkata, beliau dan Rosminah mulai rapat selepas bermain hoki untuk pasukan Universiti Sains Malaysia ketika sama-sama belajar di sana. – Gambar Facebook, 20 Mei, 2024

“Rosminah sentiasa menjadi pilihan saya sebagai pengarah teater dan dia banyak mengarahkan teater-teater di bawah terbitan CTRA Productions.

“Teater arahan Rosminah yang pertama bersama CTRA Productions adalah Anugerah yang diadaptasi daripada novel paling tebal di Malaysia karya Sasterawan Negara, Zaharah Nawawi pada 1996, diikuti Lantai T Pinkie karya Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said yang mula dipentaskan pada tahun berikutnya, 1997 (kini sudah enam kali dipentaskan termasuk tahun lalu).

“Kalau hendak diikutkan, saya dan Rosminah sudah ada perancangan untuk mementaskan semula Lantai T Pinkie di Pahang dan Kuala Lumpur sempena Hari Wanita Malaysia pada tahun ini, Hari Merdeka (2024) , Tahun Melawat Malaysia (2026) serta Sukan SEA (2027).

“Perancangan itu sudah dibuat dari tahun ini sehingga membawa ke 2027. Memang saya boleh cari orang lain untuk gantikan tempatnya sebagai pengarah, tapi sudah tentu ia tidak akan sama,” katanya.

Menganggap pemergian Rosminah sebagai suatu kehilangan besar kepada dunia seni teater, Roy berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan Rosminah adalah pada majlis rumah terbuka pada 21 April lalu di kediaman Allahyarham di pinggir ibu kota.

Pemergian Rosminah satu kehilangan besar kepada dunia seni teater, dan Siti Rohayah masih teringat pelukan terakhir sahabatnya itu ketika mereka bertemu pada 21 April lalu. – Gambar Rosminah Tahir, 20 Mei, 2024

“Dia nampak betul-betul gembira dan ceria. Siap bergurau dan mengusik-usik lain. Bahkan, sebelum pulang, dia sempat memeluk erat saya dengan begitu lama. Tapi, pelukannya itu, lain benar seolah-olah seperti mahu meninggalkan saya.

“Selepas kejadian itu, kami masih lagi berhubungan melalui WhatsApp seperti biasa. Malah, kami juga sudah merancang untuk menonton teater pementasan Kamarul AR pada 2 Jun ini.

“Tapi, pelukan eratnya itu masih lagi menghantui saya dan membuat saya tertanya-tanya, apa maksudnya. Akhirnya, semalam, baru saya dapat tahu jawapannya.

“Apa pun, saya tidak tahu apa yang saya rasakan saat ini. Tapi, saya benar-benar rasa seperti sayap kiri telah patah. Biarpun saya boleh terbang dan menggantikan sayap kiri saya dengan apa sahaja, tapi tidak sama dengan sayap kiri yang patah itu,” katanya. – 20 Mei, 2024