KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memberi bayangan kerajaan dalam peringkat ‘minggu-minggu terakhir’ sebelum membuat pengumuman mengenai penyediaan perkhidmatan rangkaian 5G kedua.
Beliau juga memaklumkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memutuskan syarikat telekomunikasi yang bakal diberi tanggungjawab menyediakan rangkaian 5G kedua itu.
“Kita mungkin dalam minggu-minggu terakhir sebelum membuat pengumuman (mengenai rangkaian 5G kedua).
“Tapi proses untuk mewujudkan rangkaian kedua akan memakan masa, tidak akan segera. Prosesnya nanti ada tender, selain arahan kementerian dan akan diputuskan beberapa perkara lagi, jadi itu akan makan masa.
“Rangkaian kedua yang akan putuskan telco (syarikat telekomunikasi) mana adalah MCMC, satu-satunya badan kawal selia yang menguruskan isu telekomunikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai tetamu jemputan untuk segmen podcast PodaBoom oleh Scoop, baru-baru ini.
Ia dihoskan oleh Ketua Pengarang Kumpulan Big Boom Media, Terence Fernandez; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Zainul Arifin dan Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (Rocky).
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, Malaysia menjadi satu-satunya negara di dunia yang berjaya melaksanakan rangkaian 5G secara rangkaian borong tunggal (single wholesale network).
“Cuma Perdana Menteri sudah putuskan kita nak beralih daripada single wholesale kepada dual network (rangkaian kedua) supaya tidak ada monopoli, lebih mampan dan memberi peluang… (jadi) aspek ini penting,” katanya.
Awal bulan ini, Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, Lembaga Pengarah Digital Nasional Bhd (DNB) yang baru dilantik akan mengadakan mesyuarat untuk meneliti laporan usaha wajar berhubung perjanjian penjualan saham 5G (SSA), sebelum membuat sebarang cadangan mengenai arahan penubuhan rangkaian 5G kedua.
Katanya, pendirian kerajaan adalah jelas bahawa rangkaian 5G kedua akan diperkenalkan selepas beberapa prasyarat SSA antara pengendali rangkaian mudah alih dan DNB telah dipenuhi.
“Prasyarat terbaru yang telah dipenuhi ialah pelantikan pengarah yang dilakukan minggu lepas, dan sudah tentu langkah seterusnya adalah mereka akan mengadakan mesyuarat itu,” katanya.
Cadangan untuk mewujudkan rangkaian 5G kedua telah dibentangkan oleh empat telco utama iaitu Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile pada akhir 2021.
Bagaimanapun, cadangan itu ditolak pada Mac 2022 dan kerajaan menawarkan 70% pegangan DNB kepada telco.
Walaupun begitu, Celcom, Digi, Telekom Malaysia dan U Mobile, mengambil masa sehingga Oktober 2023 untuk bersetuju menggunakan perkhidmatan 5G oleh DNB kepada pengguna. – 20 Mei, 2024