KUALA LUMPUR — Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Kelang, Datuk Abdul Rashid Asari menegaskan beliau tidak akan membuat pusingan U dengan menarik sokongan terhadap Menteri Besar dan Kerajaan Perpaduan di Selangor.
Bercakap kepada Scoop, Abdul Rashid berkata, meskipun diminta berbuat demikian menerusi surat arahan oleh kepimpinan Bersatu, namun ia tidak akan sesekali mengubah pendiriannya.
“Saya ada pendirian. Kalau saya kata A (ia) tetap A, saya tidak akan buat U-turn (tarik sokongan).
“Berkenaan sama ada saya hendak balas atau tidak surat itu, kita tunggu hasil pertemuan enam Ahli Parlimen dengan peguam petang ini, saya tunggu maklum balas hasil mesyuarat itu,” katanya hari ini.
Ditanya kenapa tidak turut serta dalam pertemuan itu, Abdul Rashid berkata beliau mempunyai hal lain yang perlu diselesaikan.
“Tapi apa-apa keputusan yang dibuat oleh mereka nanti, ia akan tetap melibatkan saya. Salah seorang daripada enam Ahli Parlimen terbabit akan maklumkan kepada saya mengenai keputusan mesyuarat dengan peguam itu nanti.
“Namun tak semestinya saya kena ikut (apa yang diputuskan) tengok juga apa keputusannya, saya juga ada strategi tersendiri. Tapi kalau keputusan mereka itu memperlihatkan sesuatu yang terbaik dan memuaskan, saya tiada masalah untuk ikut,” katanya.
Mengenai tindakannya berceramah di atas pentas Kerajaan Perpaduan pada Pilhan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu (KKB) baru-baru ini, Abdul Rashid berkata beliau tidak melanggar perlembagaan Bersatu.
“Tidak ada peruntukan dalam perlembagaan Bersatu yang menghalang saya daripada berkempen atau berceramah.
“Saya berceramah di atas pentas Kerajaan Perpaduan. Kerajaan Perpaduan ini bukan sebuah parti yang didaftarkan di RoS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan), jadi tidak terjejas kedudukan saya jika sekadar beri ceramah,” katanya.
Semalam, Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, berkata enam wakil rakyat Bersatu mengadakan perbincangan di ibu kota hari ini bagi menentukan tindakan seterusnya selepas mereka menerima surat surat arahan daripada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Azizi berkata, mereka dan seorang Adun dari Selangor akan mendapatkan nasihat undang-undang, sebelum mengambil langkah seterusnya.
Setakat ini, katanya, belum ada keputusan sama mereka akan memberi maklum balas atau berdiam diri terhadap surat yang dikeluarkan oleh Bersatu.
Sebelum itu, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengikut jejak Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal untuk tidak menjawab ‘surat arahan’ daripada pucuk pimpinan Bersatu berhubung pendirian mereka menyokong Perdana Menteri.
Malah Suhaili berkata, beliau mahu melihat apa tindakan yang akan diambil oleh Bersatu selepas tempoh 14 hari bagi menjawab surat itu, berakhir. – 20 Mei, 2024