KUALA LUMPUR – PAS mempersoalkan bagaimanapun festival Pinkfish Express dibenarkan diadakan di atas gerabak sewa khas Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada Khamis lalu.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, budaya berhibur melampaui batas seperti menghadiri kelab malam yang ditonjolkan itu tidak mencerminkan nilai Rukun Negara dan mencemarkan nama KTMB yang merupakan aset negara.
“PAS menggesa agar aktiviti yang melampaui batas dan mencemarkan imej KTMB ini tidak wajar diteruskan. Imej KTMB serta pengamalan budaya hiburan yang sederhana tanpa dicedok daripada mana-mana negara Barat harus dipertahankan dalam negara Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk.
“Kami menegaskan hiburan bukanlah sesuatu yang dilarang buat rakyat Malaysia dan umat Islam namun Islam hadir membawakan garis panduan yang komprehensif dalam mengisi naluri manusia yang berkehendakkan kepada hiburan. Sederhana dalam berhibur adalah kunci kepada kemajuan,’’ katanya dalam satu kenyataan.
Dikenali sebagai festival hiburan atas keretapi yang pertama di Asia Tenggara ini telah menggunakan gerabak keretapi milik KTMB dan bermula dari Stesen Keratapi Kuala Lumpur sebagai lokasi pesta tersebut.
Scoop cuba mendapatkan KTMB bagi mengulas perkara ini.
Dalam pada itu, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya pula mempersoalkan bagaimana pengangkutan awam boleh digunakan dengan sewenang-wenangnya.
Keadaan ini, katanya boleh mencalarkan imej Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang dihormati. – 19 Mei, 2024