Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Malaysia, Kazakhstan sepakat perkukuh hubungan, teroka kerjasama baharu | Scoop

Malaysia, Kazakhstan sepakat perkukuh hubungan, teroka kerjasama baharu

Kedua-dua pemimpin itu juga mengadakan mesyuarat membincangkan dengan lebih meluas kerjasama, merangkumi pelbagai sektor seperti perdagangan, pelaburan, pendidikan tinggi, pelancongan dan industri halal

9:37 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Malaysia dan Kazakhstan sepakat terus memperkukuh hubungan yang terjalin sejak 16 Mac 1992, selain meneroka peluang kerjasama baharu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kesepakatan itu dibuat semasa pertemuannya dengan Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev di Istana Presiden (Ak Orda) di Astana semalam, dengan disusuli mesyuarat dua hala delegasi masing-masing.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, mesyuarat membincangkan dengan lebih meluas kerjasama kedua-dua negara, merangkumi pelbagai sektor seperti perdagangan, pelaburan, pendidikan tinggi, pelancongan dan industri halal.

“Saya dan delegasi Malaysia menghadiri majlis sambutan rasmi oleh Presiden Kazakhstan, Kassym-Jomart Tokayev di Istana Presiden.

“Usai sambutan rasmi, saya dan Presiden Tokayev mengadakan pertemuan empat mata bagi membincangkan perkara penting terkait hubungan Malaysia dan Kazakhstan, selain menyentuh isu antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama,” katanya menerusi akaun X.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi Malaysia mengadakan mesyuarat dua hala bersama Presiden Kazakhstan, Kassym – Jomart Tokayev serta barisan anggota kepimpinannya ketika lawatan ke negara berkenaan. – Gambar Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim, 17 Mei, 2024

Menurutnya, beliau dan delegasi Malaysia juga diraikan dalam majlis makan malam, selain dibawa melawat kawasan sekitar istana oleh Tokayev.

Turut sama dalam delegasi Perdana Menteri ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta pegawai kanan pelbagai kementerian dan agensi.

Anwar tiba di Kazakhstan semalam untuk lawatan rasmi dua hari dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan serta kerjasama antara kedua-duanya.

Kali terakhir Perdana Menteri Malaysia melawat Kazakhstan, iaitu negara Asia Tengah paling besar berkenaan ialah pada 2014.

Terdahulu, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Nursultan Nazarbayev, Anwar dan delegasi melawat Masjid Besar Astana, iaitu masjid terbesar di Asia Tengah dan antara paling besar di dunia, selain menjadi pusat kegiatan keagamaan penting di bandar raya ini.

Kazakhstan, negara kesembilan terbesar di dunia, mempunyai jumlah penduduk kira-kira 20 juta orang dan lebih 70 peratus daripadanya beragama Islam.

Hari ini, Perdana Menteri dijadual menyampaikan ucaptama pada Sesi Meja Bulat mengenai kerjasama perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dengan Kazakhstan.

Malah, Anwar dijadual menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman (MoU) melibatkan agensi kerajaan dan perniagaan berkaitan, daripada kedua-dua pihak.

Nilai dagangan Malaysia dengan Kazakhstan pada 2023 ialah RM474.5 juta (US$104.2 juta), dengan RM465.6 juta (US$102.2 juta) daripadanya adalah eksport barangan Malaysia ke Kazakhstan dan RM8.9 juta (US$1.9 juta) ialah nilai import dari Kazakhstan.

Selepas Kazakhstan, Perdana Menteri akan meneruskan lawatan rasmi ke Uzbekistan. Awalnya, Anwar mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Republik Kyrgyz, sebelum ke Kazakhstan. – 17 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Related