KUALA LUMPUR — Hujan lebat yang melanda ibu negara telah menyebabkan kenderaan yang dinaiki Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh nyaris dihempap pokok tumbang di Jalan Pinang, Kuala Lumpur, petang tadi.
Ia disahkan oleh salah seorang pegawanya, Shahnor Samsudin, yang memberitahu kejadian pokok tumbang itu berlaku di depan matanya.
“Berlaku depan mata. Lokasi di Jalan Penang berhampiran KLCC. Hampir kene kete bos YAB DSU (Rauf),’’ katanya menerusi hantaran di media sosial.
Shahnor turut memuat naik video beliau melalui laluan tersebut yang sesak akibat kejadian pokok tumbang terbabit.
Difahamkan ketika kejadian pada 3.30 petang itu, Rauf menghadiri urusan rasmi di ibu negara.
Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan mengenai kejadian terbabit.
“Tiada sebarang kecederaan berlaku dalam kejadian ini kepada pemandu dan penumpang kenderaan terlibat,” katanya kepada media.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang tadi, beberapa kejadian pokok tumbang berlaku di ibu kota susulan hujan lebat dan angin kuat. Antara yang terlibat adalah di Jalan Pinang, di sini.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat memaklumkan tiga buah kereta dan lima motosikal terlibat dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Pinang.
Namun tiada mangsa yang terlibat.
Selain Jalan Pinang, PGO turut menerima panggilan kecemasan melibatkan pokok tumbang di beberapa kawasan lain iaitu di Jalan Rahmah, Taman Gembira; Jalan Selesa 1 Taman Gembira; Jalan Kuchai Lama serta Fakulti Perubatan dan bangunan peperiksaan Universiti Malaya (UM).
“Kawasan utama yang terjejas akibat pokok tumbang adalah di kawasan Taman Gembira dan Universiti Malaya.
“Kerja-kerja pemotongan dan pembersihan pokok tumbang dilakukan bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),’’ katanya. – 13 Mei, 2024