KUALA LUMPUR — Penstrukturan semula akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan pengenalan Akaun Fleksibel akan memudahkan pengeluaran ‘waktu kecemasan’ yang boleh digunakan pada waktu yang tidak dijangka.
Itu pandangan orang ramai yang melihat Akaun Fleksibel ini membantu mereka berdepan dengan masalah kewangan dan digunakan untuk keperluan mendesak.
Antara pencarum ditemui Scoop, M. Eshwari, 38, berkata, waktu kecemasan yang dimaksudkan itu ialah jika terpaksa mendapatkan rawatan perubatan di hospital swasta.
“Di Malaysia, kebanyakan dari kita tidak mempunyai kad perubatan, jadi kita akan terlalu bergantung kepada hospital kerajaan.
“Kadang-kadang dalam keadaan kecemasan, hospital swasta diperlukan bagi mendapatkan rawatan yang cepat dan wang itu boleh digunakan bukan untuk kita sahaja malah anggota keluarga yang lain,’’ katanya yang merupakan seorang pekerja swasta.
Semalam KWSP mengumumkan semua akaun bagi ahli di bawah usia 55 tahun akan distruktur semula kepada tiga akaun iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel berkuat kuasa 11 Mei ini.
Menurut KWSP, untuk itu baki dalam Akaun 1 dan Akaun 2 masing-masing akan kekal dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera manakala Akaun Fleksibel akan bermula dengan baki sifar.
Sementara itu, senada dengan Eshwari ialah Muhammad Faris Aiman Mohd Ibrahim, 21, yang merupakan pekerja di sebuah pusat beli belah dan mahu menggunakan wang berkenaan untuk membaiki motosikalnya.
“Baru-baru ini saya terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika menunggang motosikal.
“Walaupun ia boleh dikeluarkan dalam jumlah tertentu tapi sekurang-kurangnya saya boleh gunakan untuk membaiki motosikal dan proses pemulihan saya,’’ katanya.
Sementara itu, seorang lagi pencarum, M. Shelly, 27, melihat inisiatif KWSP sebagai sesuatu yang positif kepada mereka yang memerlukan tetapi dia memilih untuk tidak membuat sebarang pengeluaran.
“Ia sangat positif kerana kita tidak boleh jangka bila kita akan memerlukan wang, seperti ketika negara dillanda pandemik Covid-19 beberapa tahun lalu hingga ramai yang kehilangan kerja.
“Namun disebabkan kita mempunyai pilihan dalam Akaun Fleksibel itu jadi saya pilih untuk tidak menyumbang kerana saya ingin menyimpannya untuk masa depan,’’ katanya.
Bagi Audrey Chew, 31, pula, dia tidak mahu menyimpan dalam Akaun 3 kerana bimbang wang tersebut digunakan untuk benda yang bukan keperluannya.
“Saya tidak rasa ini adalah idea yang baik kerana saya mungkin akan menggunakan wang dalam akaun itu.
“Selain itu, saya percaya memiliki dua akaun sudah mencukupi. Kalau saya boleh keluarkan pada bila-bila masa, saya mungkin menggunakan duit tersebut untuk membeli barangan yang tidak diperlukan.
“Saya tidak kisah jika saya tidak dapat mengeluarkan wang menerusi Akaun 3 asalkan saya mempunyai simpanan yang mencukupi,’’ katanya. – 26 April, 2024