KUALA LUMPUR – Prosedur bedah siasat 10 mangsa tragedi dua helikopter bertembung di Pangkalan TLDM Lumut telah bermula dan dijangka dapat diselesaikan lewat tengahari esok.
Timbalan Pengarah Perubatan (I) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB, Dr. Liaw Kok Toon yang menanggung tugas pengarah berkata, semua jenazah tiba di Jabatan Forensik pada jam 6 petang tadi.
Susulan itu beliau meminta semua pihak memberikan kerjasama bagi memastikan prosedur berkenaan berjalan lancar.
“HRPB dengan ini memohon kerjasama semua pihak untuk memberi ruang memastikan prosedur bedah siasat serta pengecaman mangsa dapat dijalankan dengan lancar oleh pihak Jabatan Forensik HRPB, selain menghormati privasi waris mangsa,’’ katanya dalam satu kenyataan.
Nahas membabitkan perlanggaran dua helikopter yang terlibat dalam latihan lintas hormat sempena sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-90 itu mengorbankan 10 orang.
Dua helikopter yang terdiri dari model HOM dan Fennec itu berlepas dari Padang Sitiawan pada jam 9.03 pagi. – 23 April, 2024