Arteta hilang kata-kata, terlalu kecewa Arsenal tersingkir dari pentas Eropah

Kekalahan 1-0 kepada Bayern Munich menyebabkan Arsenal tersingkir dari pentas elit Eropah secara agregat 2-3

Pemain Arsenal melangkah hampa di Allianz Arena, Munich, Jerman selepas kekalahan 1-0 kepada Bayern Munich awal pagi tadi menyebabkan mereka tersingkir pada suku akhir Liga Juara-Juara secara agregat 2-3. - Gambar Facebook Arsenal, 18 April, 2024

KUALA LUMPUR – Mikel Arteta mengakui, dia tidak tahu apa hendak diperkatakan kepada pemainnya dalam bilik persalinan selepas Arsenal disingkirkan oleh Bayern Munich pada suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Kekalahan 1-0 di Allianz Arena menyebabkan kelab London itu ditunjukkan jalan keluar secara agregat 2-3 selepas seri 2-2 pada perlawanan pertama di tempat sendiri minggu lalu.

Tandukan Joshua Kimmich pada babak kedua menghukum kealpaan benteng Arsenal, sekali gus menamatkan impian mereka untuk melayakkan diri ke separuh akhir pentas elit Eropah itu buat kali pertama sejak 2009.

“Suasana dalam bilik persalinan benar-benar ‘hancur’. Kami terlalu kecewa dan saya tidak menemukan kata-kata yang tepat untuk melonjakkan semangat mereka (pemain).

“Ini adalah masanya untuk duduk sebelah pemain dan memberi sokongan kerana merekalah yang telah membawa kami ke tahap ini,” kata Arteta.

Pengurus Gunners itu juga mengakui, kesilapan melepaskan dua gol dalam aksi pertama punca pasukannya terpaksa berputih mata, dan terus kempunan memburu kejuaraan Eropah pertama.

“Kami sudah mencuba menentang satu pasukan dengan pengalaman luas. Sepanjang dua perlawanan jurangnya amat kecil.

“Ada beberapa ketika kami lebih bagus tetapi kami memberikan mereka dua gol dalam perlawanan pertama, dan itu satu kelebihan besar yang anda berikan kepada mereka,” katanya.

Kekalahan di Jerman itu melengkapkan empat hari yang ‘kejam’ buat Arteta selepas pasukannya kehilangan kedudukan pendahulu Liga Perdana Inggeris ekoran kekalahan 0-2 kepada Aston Villa di laman sendiri, Ahad lalu. – 18 April, 2024