KUALA LUMPUR — Berita pengunduran Syasya atau Noor Syasya Afiqah Shahrizal, 23, daripada Dolla disebabkan masalah peribadi yang melibatkan keluarganya benar-benar membuatkan ramai peminat mereka yang bergelar Idollas berasa sedih dan kecewa.
Ada dalam kalangan mereka yang tidak rela melihat ketiadaan Syasya dalam kumpulan Mpop yang turut dianggotai Angel, Sabronzo dan Tabby itu.
Seorang Idollas iaitu @Roxxypixy sambil memuat naik videonya menangis dengan berita pengunduran Syasya menulis: “Tolong abaikan wajah buruk saya menangis. Syasya kenapa? Saya harap ia sekadar mimpi dan tidak benar.”
Idollas @LalisaM16229270 pula berkata: “Dolla tanpa Syasya, saya tidak boleh terima perkara ini.”
Komen Idollas @Ntshjml: “Tidak akan sama lagi pergi ke show Dolla selepas ini.”
Memberikan komen yang sama, @7sevendreamies berkata: “Syasya meninggalkan Dolla ibarat seperti Zayn tinggalkan One Direction.”
Seorang lagi, @alfredkhaw menulis: “Saya masih ingat momen saya berbual dengan Syasya secara peribadi. Dia sangat gembira apabila kami bercakap pasal konsert. Saya harap semuanya okey dengan kamu Syasya.”
Bagi Idollas @Syasyaarchive pula: “Saya mula menjadi peminat dia (Syasya) sewaktu predebut. Sudah tentu berita ini sangat melukakan hati saya. Saya hormati keputusannya dan mendoakan terbaik untuk masa depannya. Walau apa terjadi, Dolla tetap akan tersemat dalam jiwa saya dan saya akan terus menyokong Dolla hingga saat akhir. Terima kasih atas segalanya. Kami sayang kamu.”
Namun sebaik sahaja berita pengunduran Syasya ini diumumkan secara rasmi semalam, ramai yang mula menyedari Dolla turut memiliki peminat di luar negara iaitu di Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina, Thailand, Vietnam, India, Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Arab Saudi termasuk negara Amerika Latin seperti Brazil, Peru dan Argentina.
Hal ini dibuktikan dalam statistik lagu Spotify sebelum ini, apabila lagu-lagu nyanyian Dolla didengari peminat-peminat dari negara-negara ini.
Malah berita mengenai pengunduran Syasya turut dimuat naik dalam akaun twitter @IdollaBrasil serta ditulis dalam bahasa Brazil sepenuhnya.
Komen @pochi13_: “Syasya berundur, baru ramai tahu Dolla ada peminat di luar negara. Kita juga ada Idollas di Argentina”.
Dolla yang ditubuhkan pada 2019 di bawah syarikat rakaman Universal Music Malaysia, mula mencuri perhatian peminat muzik tempatan dengan single pertama mereka ‘Dolla Make You Wanna’ yang dilancarkan pada 20 March 2020.
Sehingga kini, Dolla telah mengeluarkan enam single solo, termasuk hits seperti Impikan, Bad, dan satu album penuh berjudul New Classic pada November 2023.
Dolla juga pernah merangkul anugerah Top Meletop Kumpulan/Duo di Anugerah Meletop Era 2021, selain dinobatkan sebagai Kolaborasi/Artis Berkumpulan Popular di Anugerah Bintang Popular ke-35 pada 2022 . – 9 April, 2024