KUALA LUMPUR – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp melancarkan ‘serangan’ terhadap Manchester United dengan meramalkan Arsenal boleh melakar kemenangan mudah di Old Trafford bulan depan jika anak-anak buah Erik ten Hag bermain seteruk ketika menentang pasukannya malam tadi.
Sepakan penalti Mohamed Salah pada minit ke-84 membolehkan Liverpool mengikat United 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, namun secara keseluruhan, Reds menguasai permainan dan mensia-siakan banyak peluang untuk menghasilkan gol terutama di babak pertama.
Arsenal mendahului liga dengan kelebihan jaringan biarpun berkongsi 71 mata bersama Liverpool, manakala Manchester City mengekori rapat di tangga ketiga dengan 70 mata ketika saingan berbaki tujuh perlawanan.
United akan berdepan Arsenal di Old Trafford dalam perlawanan terakhir mereka di tempat sendiri pada 11 Mei, dan Klopp mengakui, dia tidak mengharapkan sebarang ‘bantuan’ daripada Red Devils.
“Arsenal pasukan bola sepak yang bagus. Jika mereka (United) bermain seperti hari ini (malam tadi), Arsenal akan memenangi perlawanan itu, saya yakin 100%.
“Saya minta maaf kerana mengatakan perkara ini,” kata Klopp sejurus tamat perlawanan.
Tiga minggu selepas kalah tipis 3-4 kepada United dalam saingan Piala FA di Old Trafford, Liverpool melancarkan 15 percubaan ke gawang lawan, malangnya hanya berjaya menyudahkan satu gol menerusi Luis Diaz.
United sebaliknya tidak melakukan sebarang percubaan ke pintu gol Reds di separuh masa pertama, dan berjaya menyamakan kedudukan pada babak kedua menerusi Bruno Fernandes hanya selepas pertahanan tengah lawan, Jarell Quansah melakukan kesilapan ketika membuat hantaran.
Kobbie Mainoo kemudian meletakkan United di depan dengan jaringan hebat sebelum Salah menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti selepas Harvey Elliott dijatuhkan oleh Aaron Wan-Bissaka.
“Sejak saya berada di sini, saya tidak fikir kami mampu menguasai United seperti dalam dua perlawanan terakhir.
“Kami sepatutnya memenangi perlawanan itu, ia sangat jelas. Memiliki statistik menyerang 15-0 adalah luar biasa dan hanya mendahului 1-0 di babak pertama, keputusan paling rendah.
“Bruno melakukan penyudah yang bagus. Saya mempunyai berita buruk bahawa dia (Quansah) tidak melakukan kesilapan terakhirnya, namun dia menangani perlawanan dengan baik,” kata Klopp.
Pengendali kelahiran Jerman itu bagaimanapun meminta penyokong Liverpool kekal bertenang dan memberi jaminan pasukannya akan melakukan perkara yang betul dalam baki perlawanan.
“Sehingga semalam, kami dan Arsenal saling kejar mengejar. Kami berharap akan berada di atas selepas 38 perlawanan, jadi hari terakhir amat penting.
“Pada akhirnya, pasukan yang menjuarai liga adalah yang paling layak mendapatkannya. Kami kekal dalam perlumbaan dan saya baik-baik saja,” katanya.
Sementara itu, kapten Liverpool, Virgil van Dijk kecewa pasukannya mensia-siakan terlalu banyak peluang terhidang dan sepatutnya menamatkan permainan sebagai pemenang.
“Rasa seperti kalah. Sekali lagi, ia salah kami sendiri. Kami mempunyai begitu banyak peluang dan sepatutnya boleh memenangi perlawanan.
“Malangnya kesilapan individu berlaku dengan gol penyamaan lawan, dan kami mempunyai banyak masa untuk memperbetulkannya, tetapi terlalu terburu-buru,” katanya.
Liverpool akan menerima kunjungan Crystal Palace dalam aksi liga seterusnya pada 14 April, sebelum bertandang ke Fulham (21 April), berdepan Everton (25 April), West Ham (27 April), Tottenham (5 Mei), Aston Villa (11 Mei) dan Wolverhampton pada aksi terakhir liga, 19 Mei. – 8 April, 2024