Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Siasat Akmal langkah baik tapi tolong jangan dakwa dia bawah Akta Hasutan: Zaid | Scoop

Siasat Akmal langkah baik tapi tolong jangan dakwa dia bawah Akta Hasutan: Zaid

Zaid yakin Dr Akmal tidak berniat mahu menggulingkan kerajaan yang mentadbir negara ketika ini

12:07 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Peguam , Datuk Zaid Ibrahim memuji tindakan pantas polis menyiasat Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh semalam tetapi berharap beliau tidak didakwa di bawah Akta Hasutan 1948.

Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) itu, ini kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah mengumumkan kerajaan hanya akan menggunakan akta tersebut untuk melindungi institusi Raja daripada sebarang provokasi.

“Daripada berita yang tersebar ketika ini, Ketua Pemuda Umno itu sedang disoal siasat oleh polis atas kemungkinan pertuduhan hasutan. Jika begitu, maka ia adalah satu langkah yang baik oleh pihak polis.

“Tetapi tolong jangan dakwa dia kerana menghasut. Perdana Menteri sebelum ini (2023) mengumumkan bahawa kerajaan hanya akan menggunakan hasutan untuk kesalahan terhadap Raja-raja.

“Kenyataan beliau (Perdana Menteri) seolah-olah mengesahkan bahawa (Akta) Hasutan dikhaskan untuk melindungi Raja-Raja. Mari kita berpegang kepadanya kerana kita perlu mengambil serius kata-kata PM,” katanya menerusi ciapan di platform X, hari ini.

Zaid berkata, terdapat banyak peruntukan dalam Kanun Keseksaan yang boleh digunakan terhadap kes Dr Akmal.

“Antaranya, Seksyen 298(A) Kanun Keseksaan, Seksyen 503 Kanun Keseksaan, Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan lain-lain,

“Mari berpegang pada janji Kerajaan Perpaduan ini. Kita mendengar dengan lantang di jalanan selama 25 tahun bahawa mereka akan memansuhkan undang-undang ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Zaid yakin Dr Akmal tidak berniat mahu menggulingkan kerajaan yang mentadbir negara ketika ini.

Malah, katanya, tindakan tidak mendakwa Dr Akmal di bawah Akta Hasutan 1948 juga akan menjadikan kerajaan kelihatan lebih baik dan progresif.

“Dengan tidak mendakwa Dr Akmal di bawah (Akta) Hasutan, anda juga tidak mengangkatnya sebagai pejuang kemerdekaan,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Dr Akmal ditahan untuk siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi Multimedia 1998.

Beliau berkata, Exco Melaka itu ditahan sepasukan polis sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa, Kota Kinabalu, Sabah pagi semalam susulan dua laporan polis terhadapnya berhubung isu stoking tertera kalimah Allah.

“Dua laporan polis yang dibuat terhadapnya adalah berhubung ucapan dan tindakannya tentang isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di kedai serbaneka KK Mart,” katanya.

Datuk Zaid Ibrahim (gambar) percaya, Dr Muhamad Akmal Saleh tidak sepatutnya didakwa di bawah Akta Hasutan kerana yakin Ketua Pemuda Umno itu tidak berniat mahu menggulingkan kerajaan yang mentadbir negara ketika ini. – Gambar Facebook Zaid Ibrahim, 6 April, 2024

Sebelum itu, Dr Akmal menerusi Facebook mengesahkan beliau ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pagi semalam walaupun sudah dijadualkan untuk memberi keterangan di IPD Dang Wangi hari ini.

Dr Akmal juga memuat naik satu rakaman video yang memaparkan penahanan itu.

Pada 26 Mac lalu, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkaitan penjualan stoking itu.

Pada 3 April pula menerusi hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Yang di-Pertuan Agong bertitah Chai telah memohon ampun dan maaf kepada Seri Paduka Baginda serta seluruh umat Islam berhubung isu berkenaan. – 6 April, 2024

Topics

 

Hangat

Related