KUALA LUMPUR — Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor menempelak Setiausaha Protem Parti Hijau Malaysia (PHM), Abdul Razak Ismail kerana campur tangan dalam projek pembangunan semula Stadium Shah Alam.
Bercakap kepada Scoop, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastuktur dan Kemudahan Awam negeri, Izham Hashim berkata, individu terbabit tidak perlu ‘menyibuk’ dalam projek pemulihan tersebut.
“Dia (Razak) memang bermasalah, jadi dia tak perlu sibuk. Tidak ada isu pun (dalam projek stadium) kerana semua di bawah tanggungjawab MRCB (Malaysia Resource Corporation Berhad),” katanya semalam.
Terbaru, Razak menerusi Facebook mempersoalkan bagaimana Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor sebagai pemilik projek boleh menandatangani perjanjian persefahaman bagi kerja perobohan stadium itu dengan sebuah syarikat yang memiliki modal berbayar RM100.
Pemilik majoriti MRCB ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Razak turut berkongsi salinan maklumat kewangan syarikat terbabit yang diperoleh menerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bagaimanapun semakan Scoop dalam dokumen SSM mendapati pemaju yang diperkatakan itu iaitu Lembaran Prospek Sdn Bhd, merupakan syarikat milik penuh MRCB Land Sdn Bhd yang mempunyai modal berbayar RM5 juta.
Ia merupakan amalan biasa korporat di mana syarikat induk akan membuka anak syarikat bagi menguruskan sesuatu projek.
Razak, bekas ahli PKR dan telah dipecat dari parti itu dua tahun lalu, adalah antara yang konsisten mengkritik projek yang dikenali sebagai Kompleks Sukan Shah Alam itu.
Selain Razak, seorang lagi ialah penulis blog dari Australia, Murray Hunter yang sering mengkritik kerajaan persekutuan serta negeri Selangor.
Murray, telah mendapat kecaman kerana kenyataan menghasut terhadap institusi diraja dan kini tertakluk kepada Notis Biru yang dikeluarkan oleh Bukit Aman kepada Thailand, iaitu tempat di mana dia menetap.
Dia, merupakan bekas pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) namun sudah ditamatkan perkhidmatan oleh universiti berkenaan sejak 14 Ogos, 2015.
Dalam satu kenyataan, UniMap menjarakkan diri daripada Murray dan memaklumkan ia tidak mempunyai apa-apa kaitan dengan penulis blog berkenaan.
Pada 1 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memberitahu Bukit Aman telah mendapatkan bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) bagi mengesan keberadaan Murray menerusi Notis Biru.
“Kita sudah membuka kertas siasatan berkait isu 3R (raja, agama dan kaum),” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MBI Selangor, Saipolyazan M Yusop sebelum ini memaklumkan rancangan pembangunan semula Stadium Shah Alam berjalan lancar dengan kerja perobohan stadium itu dijangka bermula Mei atau Jun ini.
Beliau berkata, proses pemasangan adang sedang berjalan dan Notis Untuk Meneruskan akan dikeluarkan sebaik saja pemaju Lembaran Prospek Sdn Bhd menepati syarat-syarat awal yang ditetapkan.
Katanya, pemaju diberikan tempoh tiga bulan selepas kontrak dimeterai pada 6 Februari lalu untuk merancang kerja perobohan dengan mengambil kira kesan terhadap alam sekitar, menepati kehendak pihak berkuasa tempatan (PBT) dan meminimumkan gangguan kepada penduduk sekitar.
“Kerja perobohan stadium dijangka mengambil masa setahun. Kita juga akan melihat kaedah tertentu untuk mempercepatkan kerja perobohan stadium itu,” katanya. – 5 April, 2024