Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
60 penerbangan tambahan ke Kota Bharu sempena Aidilfitri | Scoop

60 penerbangan tambahan ke Kota Bharu sempena Aidilfitri

Ketika ini syarikat-syarikat penerbangan tempatan menawarkan laluan ke Kota Bharu dengan kekerapan keseluruhan sebanyak 129 penerbangan seminggu

11:31 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Sebanyak 60 penerbangan tambahan ke Kota Bharu, Kelantan dengan membabitkan penambahan kira-kira 15,962 tempat duduk disediakan sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ketika ini syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB), AirAsia, Firefly dan Batik Air Malaysia menawarkan laluan ke Kota Bharu dengan jumlah kekerapan keseluruhan sebanyak 129 penerbangan seminggu.

“Penerbangan itu melibatkan laluan dari enam destinasi iaitu Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Johor Bahru, Kuching, Pulau Pinang dan Subang.

“Kerajaan sentiasa menggalakkan syarikat penerbangan negara ini untuk meningkatkan kapasiti penerbangan semasa musim perayaan khususnya di laluan yang mempunyai permintaan tinggi termasuk ke Kota Bharu,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Wan Martina Wan Yusoff mengenai jumlah penerbangan domestik ke Kelantan setiap hari terutamanya pada musim perayaan dan adakah kerajaan berhasrat menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) menjadi lapangan terbang antarabangsa.

Mengulas lanjut, Loke berkata, projek penaiktarafan LTSIP sedang giat dijalankan melalui perbelanjaan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 di bawah Kementerian Pengangkutan.

Katanya, fasa pertama kerja pembinaan dijangka siap pada 30 April ini, diikuti fasa kedua pada 26 Januari 2025.

“Apabila projek penaiktarafan tersebut disempurnakan pada 2025, LTSIP dapat menampung kapasiti sebanyak 4 juta penumpang setiap tahun (MPPA),” katanya.

Menurutnya, ketika ini negara mempunyai enam lapangan terbang antarabangsa iaitu KLIA, Kota Kinabalu, Kuching, Pulau Pinang, Langkawi dan Johor Bahru.

“Lapangan-lapangan terbang domestik lain termasuk juga LTSIP berperanan sebagai feeder kepada lapangan-lapangan terbang antarabangsa ini.

“Walaupun LTSIP tidak dikategorikan sebagai lapangan terbang antarabangsa, ia masih menerima dan boleh mengendalikan operasi penerbangan antarabangsa seperti Lapangan Terbang Miri dan Ipoh yang mempunyai penerbangan ke Singapura,” katanya.

Susulan itu, beliau berkata, sebarang cadangan untuk menyedia dan menambah kekerapan jadual penerbangan bagi mana-mana laluan termasuk laluan ke LTSIP merupakan perancangan yang ditentukan sendiri oleh syarikat penerbangan.

Malah katanya, ia juga berdasarkan commercial viability sesuatu laluan dan tertakluk kepada kelulusan daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) sebelum ia dapat dilaksanakan. – 4 April, 2024

Topics

 

Hangat

Related