KUALA LUMPUR – Tokoh korporat Tan Sri Robert Tan Hua Choon dijangka berdepan dengan pendakwaan di Mahkamah Seksyen Jenayah 14, di sini, esok.
Berdasarkan kepada jadual mahkamah, beliau akan didakwa pada jam 9 pagi di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Berdasarkan mesej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada media, pihaknya akan mendakwa seorang ‘tokoh korporat’ pagi esok.
Sumber memaklumkan kes itu berkaitan dengan Spanco.
Pada 20 Januari lalu, Scoop melaporkan SPRM menyerbu kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bagi siasatan berhubung dakwaan rasuah perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan kerajaan Malaysia.
Sumber memberitahu Scoop, ia merupakan kesinambungan kepada siasatan SPRM sejak Julai tahun lalu.
Pada 31 Januari lalu, tindakan membekukan beberapa akaun bank persendirian milik seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bernilai kira-kira puluhan juta ringgit dilakukan telah oleh SPRM.
SPRM juga dilaporkan merakam beberapa keterangan saksi-saksi penting yang terdiri daripada agensi kerajaan terlibat dan juga individu-individu daripada syarikat yang mendapat perolehan membekal serta menguruskan fleet kenderaan Kerajaan Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari menyifatkan kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, hanya merugikan negara.
Malah, kata beliau, kontrak terbabit juga tidak menyenangkan penjawat awam yang menggunakan kemudahan berkenaan. – 2 April, 2024