KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah atas pemergian Tokoh Wartawan Negara 2014, Datuk Ahmad Rejal Arbee Mohamed Isa Arbee hari ini.
Perdana Menteri berkata, pemergian allahyarham memberi kesan mendalam kepada bidang kewartawanan.
“Awal pagi tadi mantan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) dan mantan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Rejal Arbee Mohamed Isa Arbee kembali ke rahmatullah.
“Takziah saya utuskan kepada keluarga allahyarham. Mendoakan roh allahyarham diampunkan segala dosanya dan diberi tempat istimewa di sisiNya, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Anwar berkata, allahyarham dikenali sebagai antara pengamal media terawal meneroka konsep media dwibahasa.
“Jasa, sumbangan dan buah fikiran dilontarkan allahyarham ternyata meninggalkan kesan mendalam dalam dunia akhbar dan kewartawanan di Malaysia,” katanya.
Ahmad Rejal Arbee, 84, dilaporkan meninggal dunia pada jam 2 pagi hari ini.
Perkara itu disahkan isteri allahyarham, Datin Noraini Shariff.
“Innalilahi wainna ilaihi rojiun. Suami saya Ahmad Rejal Arbee kembali ke rahmatullah sekejap tadi pada pukul 2 pagi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
BERITA LANJUT MENYUSUL