KUALA LUMPUR – Kemalangan yang berlaku di kilometer (km) 262.9 arah utara di antara laluan Ipoh Utara ke Terowong Menora melibatkan sebuah treler pagi tadi, menyebabkan kesesakan teruk.
Berdasarkan gambar yang dikongsi di media sosial, treler yang membawa muatan serbuk besi terbalik dan merintangi jalan. Muatan berkenaan turut jatuh ke atas jalan.
Ia dipercayai berlaku pada 4.52 pagi tadi.
Keadaan itu mengakibatkan trafik tidak bergerak sejauh hampir 2km dan sehingga 9.22 pagi tadi.
Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan semua lorong arah utara masih terhalang bagi kerja pembersihan.
“Semua lorong arah utara masih terhalang bagi kerja pembersihan. Laluan kontra dari KM 262.6-KM 263.7 arah selatan diaktifkan. Trafik perlahan 1.8km. Berhati-hati memandu,’’ demikian tulis LLM dalam aplikasi X.
Sementara itu, memetik laporan media, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, keadaan treler terbabit merintangi jalan dengan sebahagian muatan jatuh atas lebuh raya.
Jelasnya, kemalangan itu tidak melibatkan kehilangan jiwa. – 24 Mac, 2024