KUALA LUMPUR — Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, 66, untuk mendapatkan kembali pasportnya secara kekal.
Hakim Datuk Ahmad Bache ketika membuat keputusan itu berkata ia mempunyai risiko ‘flight risk’ serta tiada jaminan isteri bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin itu tidak melarikan diri ke luar negara.
Ahmad juga bersetuju dengan pihak pendakwa raya bahawa Na’imah berisiko melarikan diri jika pasport dipulangkan secara kekal.
“Setelah meneliti hujahan dan rekod yang ada dan ambil kira prinsip undang-undang, mahkamah menolak permohonan pemohon/tertuduh.
“Keputusan ini sah, wajar dan tiada ketidakadilan yang berlaku,’’ katanya.
Timbalan pendakwa raya bagi kes tersebut ialah Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Ahmad Feisal Mohd Azmi, Mohamad Fadly Mohd Zambry, Maziah Mohaide dan Fatin Farhana Ismail.
Manakala, pasukan peguam bela terdiri daripada M. Puravalen, Nizammudin Hamid, Rajesh Nagarajan, Sachpreetraj Singh dan M. Moganasundari.
Na’imah dalam pada itu, ketika ditemui di luar kompleks mahkamah memaklumkan peguamnya akan menghantar permohonan rayuan bagi mendapatkan semula pasportnya.
“Peguam saya akan failkan permohonan rayuan,” katanya ringkas.
Na’imah diwakili peguam M. Puravalen, Rajesh Nagarajan, Sachpreetraj Singh Sohanpal dan Nizamuddin Hamid.
Manakala Timbalan Pendakwa Raya ialah Ahmad Feisal Mohd Azmi, Mohamad Fadly Mohd Zamry dan Maziah Mohaide.
Na’imah hadir ditemani dua anaknya, Muhammad Amir Zainuddin Daim dan Muhammad Amin Zainuddin Daim.
Pada 16 Februari lalu, Na’imah memfailkan permohonan, dengan mendakwa alasan yang kukuh harus diberikan oleh barisan Timbalan Pendakwa Raya, untuk menahan pasportnya selain mendakwa tindakan tidak wajar, kerana rutin bagi pihak pendakwaan.
Pada 23 Januari, wanita itu didakwa di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan, gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan 12 aset harta antaranya di ibu negara dan Pulau Pinang, Disember tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 bertarikh 8 November 2023.
Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta-harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 13 Disember 2023.
Harta itu membabitkan dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd serta dua Mercedes Benz, selain lapan hartanah membabitkan Menara Ilham dan sebuah kediaman di Bukit Tunku, di sini serta enam lagi bangunan dan lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, di sini; Jalan Cantoment Road, Penang serta Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr Ismail, di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Mahkamah Sesyen membenarkan Na’imah diikat jamin sebanyak RM250,000 dengan seorang penjamin, termasuk syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai tanpa perlu melaporkan diri di pejabat SPRM. – 22 Mac, 2024