KUALA LUMPUR – Kerajaan wajar melakukan lantikan baharu bagi mengisi tiga jawatan utama negara membabitkan Ketua Setiausaha Negara, Ketua Hakim Negara dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Tempoh perkhidmatan penyandang bagi tiga jawatan itu dijangka berakhir pada pertengahan tahun ini kerana kontrak tamat selain sampai usia persaraan.
Bercakap kepada Scoop, Felo Kanan Akademi Nusantara (NASR), Dr Azmi Hassan berkata, kerajaan seelok-eloknya melantik individu baharu untuk mengisi kekosongan jawatan yang bakal ditinggalkan ketiga-tiga individu tersebut dengan melantik dalam kalangan pegawai kanan berkelayakan.
“Tiga jawatan utama negara itu amat sentitif kerana kebelakangan ini wujud pelbagai tohmahan yang mengaitkan campur tangan politik dalam sebarang keputusan.
“Kecuali Ketua Hakim Negara yang sudah sampai tahap persaraan, untuk Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pesuruhjaya SPRM elok dilantik orang baharu supaya kerajaan atau Perdana Menteri dapat memulakan visi dan misi baharu. Ia juga dapat menghilangkan segala tohmahan dilemparkan kepada Perdana Menteri.
“Selain itu, kita juga tidak kurang pegawai kanan berkelayakan dan mempunyai merit untuk mengisi jawatan tersebut,” katanya hari ini.
Perkhidmatan Tan Sri Mohd Zuki Ali sebagai Ketua Setiausaha Negara dijangka berakhir pada 10 Ogos selepas tugasnya disambung tempoh dua tahun bermula 11 Ogos 2022, begitu juga tugas Tan Sri Azam Baki di SPRM bakal tamat Mei ini setelah dilantik semula Ketua Pesuruhjaya untuk tempoh setahun pada 2023.
Selain itu, tanggungjawab Ketua Hakim Negara ke-16, Tun Tengku Maimun Tun Mat bakal berakhir pada Julai nanti setelah mencapai usia 65 tahun, melainkan perkhidmatannya disambung selama enam bulan seperti dibenarkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Mohd Zuki dan Tengku Maimun masing-masing dilantik menduduki kedudukan jawatan tertinggi negara pada 2019 iaitu ketika pentadbiran Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad manakala Azam pula dilantik Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi menggantikan Latheefa Koya pada 2020.
Perkembangan itu menyaksikan sama ada perkhidmatan ketiga-tiga individu tersebut disambung semula atau akan ada lantikan baharu dalam kalangan pegawai kanan dan hakim senior berkelayakan.
Berdasarkan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim-Hakim Besar Mahkamah Tinggi dan (tertakluk kepada Perkara 122C) hakim-hakim yang lain Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah-Mahkamah Tinggi hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Penganalisis sosiopolitik dari Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, sektor perkhidmatan negara tidak mengalami ketandusan pengganti atau pelapis dalam sektor pentadbiran perkhidmatan awam.
“Kerajaan perlu melakukan lantikan baharu bagi ketiga-tiga jawatan. Selagi tidak diberikan peluang, sukar untuk memajukan aspek kepimpinan dalam sektor tersebut
“Kita tidak mahu perkhidmatan awam rasa kalau kontrak mereka disambung seolah-olah tidak ada pelapis di negara ini,” katanya.
Beliau berkata, proses mengambil alih jawatan itu perlu dilakukan dengan pendirian atau keyakinan bahawa sektor perkhidmatan awam adalah sektor dinamik dan mempunyai bakat pengganti.
“Sebab saya percaya ketiga-tiga jawatan itu mempunyai pelapis yang ada,” katanya.
Sementara itu Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Abdul Rahman Nordin berkata, terserah kepada Perdana Menteri untuk menentukan kedudukan tiga penyandang tiga jawatan utama negara tersebut.
Walau bagaimanapun kata beliau, sebaik-baiknya kerajaan melantik pegawai kanan kerajaan baharu untuk mengisi semua jawatan itu.
“Namun bagi Cuepacs keputusan itu terserah kepada kerajaan untuk sambung atau tidak,” katanya. – 21 Mac, 2024