KUALA LUMPUR – Hanya kerana minuman oren, seorang lelaki tergamak menikam rakan sekerjanya hingga maut ketika mereka berbuka puasa dalam kejadian di Seksyen 36, Shah Alam, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian itu dipercayai berlaku apabila lelaki berusia 51 tahun itu marah kerana mangsa meminum minuman oren milik suspek.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati mangsa adalah warga Bangladesh berusia 49 tahun dan bekerja sebagai pekerja am, manakala suspek berasal dari Pakistan.
“Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.20 malam semalam. Suspek ditahan pada jam 7.30 malam di lokasi kejadian dan polis turut merampas pisau digunakannya untuk menikam mangsa yang berusia 49 tahun.
“Semakan mendapati mereka adalah rakan sekerja dan tinggal bersama-sama di dalam kontena yang dijadikan sebagai hostel kilang.
“Kejadian berpunca daripada suspek marah apabila mangsa meminum air orennya semasa berbuka puasa, dengan dia bertindak menikam mangsa beberapa kali menggunakan sebilah pisau diambil daripada dapur,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang daripada 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.
“Jika tidak dijatuhkan hukuman mati, hendaklah juga dihukum dengan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.
“Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Asistan Superintenden Md Anuar Md Amilah @ Harun di talian 019-2255597,” katanya. – 20 Mac, 2024