KUALA LUMPUR – “Saya minta maaf sebab lari, janji saya tak buat lagi,’’ itu kata-kata yang diluahkan oleh Siti Dhia Batrisyia Mohd Chairil Anuar, 12, selepas kembali ke pangkuan keluarganya awal pagi tadi.
Ketika berkongsi cerita dengan Scoop, Dhia berkata sepanjang lima hari kehilangannya, dia menumpang tidur di beberapa surau di sekitar ibu kota dengan berbekalkan wang sebanyak RM25.
Mengakui berkecil hati dengan tindakan ibunya, Syarifah Rosfazila Muhammad Fazili, 41, Dhia berkata dia kini menyedari kesilapannya dan enggan lagi membuat ibu bapanya bimbang di atas segala perlakuannya.
“Masa tu saya takut, saya buat benda baik (beli hadiah ulang tahun) tapi mama dan babah ( Mohd Chairil Anuar Mahmud, 40) macam tak percaya.
“Selepas itu saya terus keluar macam itu sahaja, tak rancang pun, saya terus keluar rumah tak fikir apa.
“(Sepanjang keluar rumah) saya tidur di surau-surau di sekitar Ampang, Setiawangsa dan Taman Sri Rampai dengan bawa duit sebanyak RM25 sahaja. Lepas subuh, saya akan keluar surau dan berjalan di sekitar Kuala Lumpur,” katanya.
Terdahulu, Dhia dilaporkan hilang sejak Selasa lalu apabila tidak pulang ke rumahnya selepas dikatakan berselisih faham dengan ibunya pada petang hari kejadian.
Ibu kanak-kanak itu berkata, kali terakhir dia bersama anak sulungnya itu adalah di kediaman mereka di Flat Sri Selangor, Jalan San Peng di sini pada kira-kira jam 4 petang.
Dia bagaimanapun ditemui selamat pada jam 2.28 pagi ini ketika berjalan seorang diri berhampiran kawasan lot kedai di Taman Sri Rampai, di sini.
Sementara itu, Syarifah Rosfazila bersyukur kerana anaknya ditemui dalam keadaan selamat dan sihat.
Sebaik ditemui, Dhia terus dibawa mendapatkan pemeriksaan kesihatan fizikal di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan hasil pemeriksaan, doktor memaklumkan tiada sebarang perkara mencurigakan berlaku terhadap anaknya itu.
“Alhamdulillah bersyukur sangat Dhia dah ditemui, saya dah berapa hari tak tidur (memikirkan Dhia).
“Selepas ditemui, Dhia terus dibawa buat pemeriksaan fizikal dan keputusannya pihak hospital akan hantar terus kepada polis.
“Tetapi setakat ini, daripada pemeriksaan doktor tidak temui apa-apa benda pelik dan Dhia nampak sihat,” katanya. – 17 Mac, 2024