KUALA LUMPUR – Setelah berjaya mengadakan persembahan Konsert Epitome: Saya Siti Nurhaliza di Axiata Arena, Bukit Jalil baru-baru ini, penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza memberitahu, dia kini mahu menumpukan perhatian kepada bisnes produk kecantikannya sepanjang Ramadan.
Menurut Siti, sejak beberapa bulan lalu, dia banyak memberikan tumpuan kepada latihan serta nyanyian dan sepanjang Ramadan ini, banyak perlu dilakukannya demi memastikan jualan produk kecantikannya, SimplySiti terus meraih perhatian pelanggan setia serta pelanggan baharu.
“Antara aktiviti yang akan saya lakukan untuk bisnes saya adalah mengadakan meet & greet bersama peminat.
“Lagu Ramadan atau raya belum ada lagi. Tapi, tak tahulah kalau nanti tiba-tiba ada pula lagu raya yang saya kena rakam.
“Mengenai sambutan Ramadan pun, macam biasa sahaja. Dengar macam klisekan. Tapi, itulah hakikatnya,” katanya lagi.
Siti turut berkongsi pengalamannya membawa kedua-dua anaknya, Aafiyah dan Afwa pulang ke kampungnya di Kuala Lipis, baru-baru ini serta melawat kawasan tempat dia menyanyi dan menjual kuih sewaktu zaman kecil.
“Saya pulang ke kampung kerana mahu menghadiri majlis perkahwinan kakak yang menjaga Afwa dan saya bawa sekali kakitangan dan pembantu rumah saya.
“Setiap Jumaat malam Sabtu, memang ada pasar malam. Jadi, saya bawalah mereka semua termasuk anak-anak untuk tunjukkan yang saya pernah nyanyi di situ. Saya tunjuk juga tempat saya berniaga.
“Masa saya kecil, saya bawa kuih dan meja lipat dan jual kuih. Tapak jual itu bersebelahan dengan bapa saudara saya yang menjual kerepok lekor. Sekarang anak dia yang mewarisi perniagaannya.
“Tapak yang sebelah lagi juga saudara saya. Dia jual putu piring. Tapi, sekarang dia dah tak berniaga dan anak-anak dia, tiada yang mewarisi perniagaannya,” katanya.
Jelas Siti, dia seronok apabila dapat pulang ke kampung kerana ia bukan sahaja dapat mengingatkan mengenai asal-usulnya, malah mengimbau kenangan silamnya ketika waktu zaman kecil.
“Yang seronoknya juga, saya dapat jumpa balik dengan kawan-kawan lama. Ada yang tanya saya, saya masih kenal mereka tak. Eh, mana boleh tak kenal. Mestilah kenal.
“Pasar malam di situ masih sama. Masih lagi dibuat pada Jumaat malam Sabtu. Bezanya, ia kini sudah ada bumbung. Tak macam dulu. Kita akan berpanas atau berhujan selalu.
“Saya juga tidak kisah memakai baju biasa waktu ke pasar malam itu. Sebab di rumah pun, itu baju biasa yang saya selalu pakai,” katanya yang sudah 10 tahun lebih tidak menjejakkan kaki di pasar malam tersebut.
Siti juga bakal muncul dengan lagu runut bunyi baru untuk drama bersiri, Malang Si Puteri terbitan Astro bertajuk Cinta Tak Mungkin ciptaan Farouk Roman dan lirik oleh Adrianna Cinta.
“Farouk yang minta saya nyanyikan lagu itu. Memang sedap lagu dia,” katanya lagi. – 13 Mac, 2024.