Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Dua pelancong asing maut, tiga parah bas persiaran bertembung lori di Semporna | Scoop

Dua pelancong asing maut, tiga parah bas persiaran bertembung lori di Semporna

Bas persiaran itu bertembung dengan lori sebelum terbabas di tepi jalan

11:04 PM MYT

 

SEMPORNA – Dua pelancong asing maut manakala lima lagi cedera selepas bas persiaran yang dinaiki mereka bertembung dengan lori membawa muatan buah sawit di Jalan Kalumpang KM20, jalan Semporna-Tawau di sini petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna Mazlan Sarman berkata kedua-dua mangsa iaitu seorang lelaki warga Singapura dikenali sebagai Lee Siong Huat, 60, dan wanita warga Vietnam Ngo Trinh Buu Dung, 40, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 4.03 petang dan lima anggota serta pegawai bersama dua jentera bergegas ke lokasi kejadian.

“Kejadian berlaku akibat bas persiaran itu bertembung dengan lori sebelum terbabas di tepi jalan. Pemandu lori berkenaan iaitu lelaki berusia 25 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Semua mangsa yang cedera dihantar ke hospital bagi rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata tiga mangsa lelaki cedera parah iaitu pemandu bas persiaran warga tempatan berusia 42 tahun dan dua pelancong dari Singapura masing-masing 67 dan 71 tahun.

“Dua lagi warga Singapura iaitu seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun serta seorang lelaki 58 tahun mengalami cedera ringan,” katanya.

Mazlan berkata oeprasi menyelamat mangsa ditamatkan pada 5.32 petang. – 11 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Related