Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
Ditampar, ditendang Pegawai Kanan: Tentera Darat tubuh Lembaga Siasatan | Scoop

Ditampar, ditendang Pegawai Kanan: Tentera Darat tubuh Lembaga Siasatan

Pegawai kanan berkenaan telah dilepaskan daripada tugas pemerintahan bagi membolehkan Tentera Darat melaksanakan siasatan secara telus dan menyeluruh

4:42 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menubuhkan Lembaga Siasatan peringkat dalaman untuk mengenal pasti punca kejadian salah guna kuasa dan menggunakan kekerasan melibatkan seorang Pegawai Kanan Tentera Darat yang kini bertugas di Sarawak.

Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat dalam kenyataannya memaklumkan, TDM mengesahkan telah menerima laporan berhubung dakwaan berkenaan.

Menurutnya, laporan polis yang dibuat oleh pengadu iaitu seorang pegawai tentera pada 3 Mac lalu telah tular di media sosial, mendakwa ditampar di bahagian kiri muka dan ditendang di bahagian perut oleh pegawai kanan berkenaan.

“Kejadian itu menyebabkan pengadu mengalami kecederaan pada tisu lembut di atas mata dan blunt trauma. Kejadian berlaku semasa pegawai itu sedang menjalani latihan peringkat formasi.

“TDM menegaskan organisasi ini akan menubuhkan Lembaga Siasatan peringkat dalaman untuk mengenal pasti punca-punca kejadian bagi menilai secara profesional dan terperinci berhubung dakwaan tersebut,” katanya.

Menurut kenyataan itu, jika terbukti terdapat salah laku dan guna kuasa seperti yang didakwa, pihak TDM akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan arahan Tentera Darat sedia ada.

“Sebagai tindakan, pegawai kanan berkenaan telah dilepaskan daripada tugas pemerintahan bagi membolehkan Tentera Darat melaksanakan siasatan secara telus dan menyeluruh.

“Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan memandang serius berkenaan dakwaan ini dan akan berusaha mengenal pasti punca kejadian serta tidak akan berkompromi terhadap pelaku jika terbukti bersalah tanpa mengira pangkat dan jawatan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, TDM berharap agar semua pihak tidak menularkan laporan berkenaan dan tidak meninggalkan sebarang komen negatif yang boleh mengganggu proses siasatan sehingga selesai dilaksanakan. – 7 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Related