Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the molongui-authorship domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /var/www/conan-20240903/conan/wp-includes/functions.php on line 6114
BNM kekalkan OPR pada 3% | Scoop

BNM kekalkan OPR pada 3%

Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan

3:20 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan kadar dasar semalam (OPR) pada 3%, sejajar unjuran pasaran.

Keputusan mengekalkan kadar penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di negara ini itu diputuskan pada mesyuarat kedua MPC BNM bagi tahun ini yang diadakan pada 6 dan 7 Mac 2024.

BNM berkata, pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong ekonomi dan konsisten dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan.

“MPC tetap berwaspada terhadap perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

“MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, ekonomi global terus berkembang meskipun secara sederhana, disokong oleh permintaan dalam negeri berikutan aktiviti perdagangan yang bertambah baik.

Katanya, keadaan pasaran pekerja yang menggalakkan di beberapa negara terus menyokong aktiviti penggunaan.

“Pada masa hadapan, pertumbuhan ekonomi serantau dijangka bertambah baik, manakala pertumbuhan China mungkin kekal sederhana berikutan pasaran harta tanah yang terus lemah.

“Perdagangan global dijangka kukuh apabila momentum pemulihan kitaran menaik teknologi bertambah baik,” katanya.

BNM berkata, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.7% pada tahun 2023 dan pertumbuhan dijangka meningkat tahun ini, didorong oleh pemulihan eksport dan perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan.

Katanya, pertumbuhan eksport menjadi positif selepas menguncup sejak Mac 2023 dan akan terus disokong oleh perdagangan global yang lebih kukuh.

“Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat. Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan kekal menyokong perbelanjaan isi rumah.

“Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam yang terus dilaksanakan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional, serta lebih banyak pelaburan yang direalisasikan,” katanya.

Inflasi keseluruhan dan inflasi teras juga katanya masing-masing berada pada 1.5% dan 1.8% pada Januari 2024, malah trend itu adalah selari dengan jangkaan.

“Inflasi pada tahun 2024 dijangka kekal sederhana, mencerminkan secara amnya keadaan permintaan yang stabil dan tekanan kos yang terkawal.

“Bagaimanapun prospek inflasi terus sangat bergantung pada pelaksanaan dasar dalam negeri mengenai subsidi dan kawalan harga serta perkembangan harga komoditi dan pasaran kewangan global,” katanya.

BNM berkata, walaupun asas-asas ekonomi dan prospek pertumbuhan Malaysia adalah baik, ringgit pada masa ini berada di bawah nilai saksama.

Malah, katanya, kerajaan dan BNM sedang menyelaraskan tindakan untuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk membawa balik dan menukarkan pendapatan pelaburan asing mereka kepada ringgit.

“Langkah ini akan menyebabkan aliran masuk yang lebih besar, lantas memberikan sokongan untuk nilai ringgit yang lebih kukuh.

“Pada tempoh jangka sederhana, pembaharuan struktur yang berterusan akan memberikan sokongan yang lebih berpanjangan kepada ringgit,” katanya.

Pada mesyuarat terakhir bagi 2023 yang diadakan November tahun lalu, MPC membuat keputusan untuk mengekalkan kadar berkenaan pada 3.0 peratus.

Mesyuarat MPC seterusnya akan diadakan pada 8 dan 9 Mei nanti. – 7 Mac 2024

Topics

 

Hangat

Related