KUALA LUMPUR – Keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid pada 9 Februari lalu tidak mengakibatkan peruntukan sama dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 atau negeri-negeri lain terbatal secara automatik.
Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Mohammad Fahmi Ngah berkata, secara umumnya, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 masih lagi sah, berpelembagaan serta boleh dikuatkuasakan tanpa halangan.
“Kerajaan di peringkat Persekutuan telahpun memulakan langkah awal mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
“Ia menggumpulkan pakar serta pemegang taruh bagi mencari jalan penyelesaian terbaik serta mengkaji isu berkaitan bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai II-Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ahmad Yunus Hairi (PN-Sijangkang) mengenai kesan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Nik Elin vs kerajaan Kelantan terhadap peruntukan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.
Mengulas lanjut, Mohammad berkata, dua ahli Majlis Agama Islam Selangor (Mais) turut dilantik untuk menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
“Untuk makluman dua daripada 11 ahli jawatankuasa khas ini adalah ahli MAIS sendiri. Pandangan dan syor yang akan dicadangkan oleh jawatankuasa khas ini seterusnya akan dibentangkan dalam Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) serta Majlis Raja-Raja Melayu bagi tujuan perkenan Majlis Raja-Raja.
“Selain itu, saranan agar kedudukan Mahkamah Syariah diperkukuhkan melalui pindaan Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan supaya penubuhan Mahkamah Syariah disebut dengan jelas turut dipandang serius di peringkat Persekutuan dalam usaha mencari penyelesaian terbaik untuk mengharmonikan bidang kuasa Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku pengerusi MKI turut menitahkan pada mesyuarat MKI kali ke-71 yang lalu agar kajian dilaksanakan bagi mengkaji jika ada keperluan kepada cadangan pindaan peruntukan tertentu dalam Perlembagaan Persekutuan dan atau undang-undang Persekutuan yang berkaitan.
“Ia bagi memastikan pihak berkuasa badan perundangan negeri dalam mengubal undang-undang jenayah syariah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang kekaburan.
“Langkah-langkah yang boleh diambil ini dilihat akan memastikan sebarang pindaan atau pengubalan peruntukan baharu undang-undang syariah menjadi lebih harmoni, seragam dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, seterusnya menutup ruang pertikaian mengenai bidang kuasa Mahkamah Syariah pada masa hadapan,” katanya.
Pada 9 Februari lalu, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.
Panel lapan hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat membuat keputusan itu selepas membenarkan petisyen dikemukakan Nik Elin dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman.
Antara peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 yang diisytiharkan Mahkamah Persekutuan sebagai batal dan tidak sah adalah Seksyen 11 iaitu memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat, kesalahan liwat (seksyen 14) dan persetubuhan dengan mayat (seksyen 16). – 4 Mac, 2024